Sabtu, 12 Ogos 2017

'Jangan jadikan Malaysia satelit China'


Malaysia China
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diingatkan agar tidak terburu-buru ingin menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu dengan menerima tawaran untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah yang dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu.
Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata, penempatan radar dan sistem peluru berpandu itu dikhuatiri akan mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.
Salahuddin Ayub 340"Tawaran itu adalah momentum negara tembok besar itu dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan.
"Pertemuan November ini bersama Presiden China berhubung tawaran China perlu diperhalusi sedalam-dalamnya agar nanti Malaysia tidak akan terheret sama dalam kancah perebutan kuasa besar dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Memetik sumber pegawai kanan kerajaan Malaysia, The Straits Times Singapura melaporkan, cadangan penempatan radar dan sistem peluru berpandu itu disentuh secara ringkas ketika perbincangan antara Najib dan Kaunselor Negara China, Wang Yong, selepas majlis pecah tanah pembinaan rojek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Khamis lalu.
Straits Times berkata, sumber itu memberitahu bahawa perbincangan mengenainya masih berjalan dan keputusan muktamad akan diketahui selepas Najib bertemu Presiden China, Xi Jinping, yang dijangka melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, November ini.
Kerajaan komunis China dilaporkan menawarkan sehingga 12 unit sistem pelancar roket pelbagai guna (MLRS) jenis AR3 kepada Malaysia.
Laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan bahawa China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di tujuh pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan.

Pulau buatan ini turut dilengkapi sistem pertahanan termasuk senjata anti pesawat, anti peluru berpandu dan pelancar misil jarak jauh.
Salahuddin yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) turut menegaskan, Negara-negara ASEAN perlu terus kekal neutral.
"Sungguhpun Singapura dan Filipina merupakan rakan karib AS tetapi yang paling penting ialah tiada mana-mana negara ASEAN yang membuka wilayahnya untuk pengkalan pertahanan kuasa luar," katanya.
Beliau juga berkata, sekarang ini sudah banyak aset negara yang telah tergadai kepada China dan dikhuatiri pentadbiran negara akan mengikut telunjuk China.
"Lihat sahaja pengalaman negara-negara Afrika yang menerima pelaburan gergasi dan pinjaman China yang akhirnya merana terpaksa akur kepada negara pemodal gergasi dunia ini.
"Masih sempat untuk Najib bertindak demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA