Isnin, 14 Ogos 2017

Jadi, bila PRU14?

Masalahnya ialah PPBM sentiasa membuka pintu mereka kepada ahli Umno yang tidak berpuas hati.
pru14
Perpecahan Umno yang menyebabkan lahirnya PPBM akan menyukarkan pemilihan calon Umno yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Disebabkan perpecahan ini masih baru, mungkin masih terdapat banyak ahli-ahli parti yang menyembunyikan sokongan sebenar mereka.
Ketika ini, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memerlukan sokongan padu daripada kalangan ahli Umno sendiri dalam menghadapi serangan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kini, tiada satu hari yang berlalu tanpa serangan kepada Umno mahupun beliau daripada Dr Mahathir.
Selain bertempur air liur, Dr Mahathir turut menggunakan gimik seperti forum Nothing To Hide 2.0 yang dianjurkan Pemuda PPBM semalam untuk meningkatkan publisiti dan memperlekehkan Najib.
Forum anjuran PPBM itu malangnya berakhir dengan keganasan. Dan keganasan itu akan memberikan lebih publisiti kepada forum tersebut.
Sudah pasti, Najib tidak mahu forum itu mendapat publisiti lebih dari sepatutnya.
Jadi keganasan itu angkara siapa? Kalau di dalam politik, kena tanya siapa yang mendapat keuntungan daripada insiden keganasan tersebut.
Bukan itu sahaja, Umno juga diserang oleh PPBM menggunakan taktik psywar.
Setelah menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Najib, taktik lama “ura-ura” lompat parti dimainkan kembali oleh PPBM, terutama di Johor yang menjadi kubu kuat Umno sedemikian lama.
Dua hari lalu, PPBM memulakan ura-ura ada Adun Umno di Johor yang akan melompat parti ke arahnya.
Perkara ini didakwa adalah kesan susulan daripada keputusan BN untuk tidak akan mencalonkan calon tersebut semula untuk bertanding dalam pilihan raya.
Barangkali menyedari betapa bahayanya permainan ini, Adun Umno Senggarang Abdul Aziz Ismail terus menafikan dakwaan itu.
Samada benar atau tidak, keraguan sudahpun timbul kerana sudah ada sejarah di Johor di mana ada Adun yang melompat ke PPBM, iaitu Adun Jorak Datuk Shahruddin Md Salleh meninggalkan Barisan Nasional (BN) sebelum dilantik sebagai setiausaha agung PPBM.
Selain serangan PPBM, Umno juga diganggu kesilapan taktikal para pimpinan sendiri.
Contohnya di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron meminta BN negeri menyenaraikan calon baharu untuk setiap kerusi DUN untuk dipertimbangkan bagi mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang.
Cuma tertanya-tanya, mengapa beliau berbuat demikian.

Apakah beliau tidak bimbang akan reaksi Adun BN Melaka? Apakah mereka akan akur dengan senyap atau mula memulakan rundingan bagi pihak diri sendiri?
Dua episod ini mendedahkan kepayahan Umno untuk memilih calonnya bagi PRU14 kali ini.
Jika ada wakil rakyat Umno yang dihidu cenderung kepada PPBM, sudah pasti mereka tidak akan dicalonkan kerana kemenangan mereka mungkin bermakna kemenangan kepada PPBM sekiranya keputusan PRU14 meletakkan nyawa Umno di hujung tanduk. Ini kerana kecenderungan mereka melompat ke PBBM amat tinggi.
Sekiranya calon tempatan dipilih untuk menggantikan tempat wakil rakyat yang ada, ia boleh menyebabkan perpecahan dalaman di satu-satu kawasan sekiranya wakil rakyat itu tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Dengan itu, Umno terdedah kepada sabotaj sekiranya pengaruh wakil rakyat yang memegang kuasa hari ini memilih untuk menyokong musuh Umno.
Sekiranya calon payung terjun kepercayaan presiden dimasukkan pula, kemungkinan calon itu akan diboikot oleh wakil rakyat yang ada dan juga mereka yang beraspirasi menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Inilah cabaran terbesar Umno dalam persiapan menjelang PRU14.
Masalah ini kini menjadi lebih rumit kerana adanya PPBM yang sentiasa membuka pintu mereka kepada ahli Umno yang tidak berpuas hati.
Oleh itu, Umno tidak boleh gopoh, sekiranya tidak, kesan buruknya sukar dijangkakan.
Jadi, bila PRU14? Ia akan datang apabila Umno dapat menyelesaikan masalah dan menapis calonnya, terutamanya dari sudut kesetiaan terhadap parti dan presidennya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA