Jumaat, 4 Ogos 2017

Jabatan Statistik: Harga barang, kadar inflasi di bandar, kampung sama

Ketua pengarah Jabatan Statistik berkata, urbanisasi di kampung kini mencapai 75% dan kesan kenaikan harga barang di kampung dan bandar adalah sama dengan kadar inflasi mengecil kepada purata 4.2% bagi suku pertama tahun ini.
Mohd-Uzir-Mahidi_harga-barang_600
PETALING JAYA: Urbanisasi di kawasan kampung menyebabkan harga barang di bandar dan kampung tidak jauh berbeza, kata ketua pengarah Jabatan Statistik.
Dr Mohd Uzir Mahidin dipetik Sin Chew Daily berkata, urbanisasi di kampung kini mencapai 75% dan kesan kenaikan harga barang di kampung dan bandar adalah sama dengan kadar inflasi mengecil kepada purata 4.2% bagi suku pertama tahun ini.
Katanya, keadaan itu berpunca daripada rangkaian teknologi maklumat (IT) yang lengkap dan hubungan lebih baik antara kawasan bandar serta kampung.
Beliau berkata, kenaikan kadar inflasi pada Januari hingga Mac tahun ini mengecil kepada 0.1% berbanding purata perbezaan sebanyak 0.4% hingga 0.5% sepanjang 3 tahun lalu.
Malah, katanya, kadar inflasi di bandar dan kampung bagi Mac ialah 5% menyebabkan harga barang di kedua-dua kawasan itu tidak banyak perbezaan.
“Harga teh tarik di Putrajaya dan kampung juga sama,” katanya kepada akhbar itu semalam.
Uzir berkata, makanan dan minuman tidak beralkohol adalah punca kadar inflasi di bandar meningkat dengan cepat pada suku pertama tahun ini yang terdiri daripada 4.2%, manakala pengangkutan 16% dan perkhidmatan riadah serta budaya 3.2%.
Bagi kawasan kampung pula, katanya, kenaikan paling ketara ialah makanan dan minuman tidak beralkohol sebanyak 3.7%, pengangkutan 17% dan perkhidmatan riadah serta budaya 2.7%.
Beliau berkata, dahulu, penduduk kampung menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan, tetapi sekarang semua orang mahu mencari lebih banyak wang untuk membuat perkara yang dikehendaki mereka, khasnya melancong.
Katanya, selain sewa rumah dan pengangkutan, harga perkhidmatan dan barang di kawasan kampung serta bandar hampir sama, khasnya produk IT dan perkhidmatan.
“Perbelanjaan terbesar penduduk bandar ialah pengangkutan dan tempat tinggal, manakala bagi orang kampung pula ialah barang keperluan.”
Uzir berkata, kadar inflasi untuk suku pertama tahun ini meningkat 5.1% berbanding tempoh sama tahun lalu dan ia tiada kaitan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sebaliknya ia berpunca daripada perbezaan besar harga minyak pada Mac tahun ini dan Mac 2016.
“Harga minyak pada Mac 2016 ialah RM1.60, tetapi ia meningkat kepada RM2.29 pada Mac tahun ini, jadi perbezaannya besar.”
Katanya, kadar inflasi untuk 5 bulan pertama tahun ini ialah Januari 3.2%, Februari 4.5%, Mac 5.1%, April 4.4% dan Mei 3.9%. Kadar inflasi menurun disebabkan kesan harga minyak berkurangan.

Beliau berkata, kadar inflasi bagi suku pertama tahun ini ialah 4.3% dan jika dibandingkan dengan indeks harga pengguna (IHP) bagi tempoh sama 2016, IHP sayur naik paling cepat iaitu 7.4%, ikan dan makanan laut 5.3%, makan di luar 4.1%, daging 3.4%, buah-buahan 3.1%, minyak dan produk minyak 38.3% serta pengurusan kemudahan pengangkutan swasta 20.2%.
Katanya, kadar inflasi bukan masalah harga, tetapi ia adalah cerminan cara hidup dan tabiat pengguna.
Uzir berkata, rakyat perlu menanggung tekanan dan beban hutang yang banyak jika mereka hidup terlalu mewah serta melebihi kemampuan sendiri.
“Demi mengejar trend, sesetengah orang yang tidak pandai menguruskan kewangan sendiri mungkin menyalahkan kenaikan harga barang.”
Sementara itu, Uzir berkata, cukai pelancongan yang bakal dilaksanakan kerajaan dijangka tidak mendatangkan kesan ketara terhadap kadar inflasi kerana kadar perbelanjaan melancong adalah kecil.
Ini kerana, katanya, kebanyakan ibu bapa membawa anak mereka melancong bersama dan golongan bawahan biasanya memilih inapan desa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA