Rabu, 2 Ogos 2017

Hutang negara meningkat kerajaan BN tidak wajar berbelanja lebih



Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sewajarnya lebih berhemat dan tidak berbelanja melebihi kemampuan dan keperluan  bagi mengelakkan peningkatan beban hutang negara, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 baru-baru ini menunjukkan kerajaan pimpinan Umno-BN menunjukkan jumlah hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada akhir 2016 telah meningkat sekali lagi.
Saifuddin Nasution Ismail "Jumlah peningkatan adalah sebanyak RM17.935 bilion berbanding tahun 2015. Ini menunjukkan peningkatan hutang negara bagi lima tahun berturut - turut sejak tahun 2012 hingga tahun 2016.
"Kerajaan Umno BN tidak sewajarnya berbelanja melebihi kemampuan serta keperluan negara.
"Perbelanjaan secara boros dan sesuka hati telah menyebabkan hutang negara semakin bertambah.
"Kerajaan Umno BN sepatutnya lebih berhemat dalam perbelanjaan dan jangan secara berterusan membebankan rakyat negara ini," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution lagi, penjimatan itu seharusnya dilaksanakan daripada segenap sudut pentadbiran negara sama ada di peringkat tertinggi mahupun bawahan terutamanya ketika keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.
"Hutang negara dikatakan berada pada paras kritikal kerana hampir mencecah had siling hutang negara iaitu 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Bertambah malang, khususnya generasi muda negara ini terpaksa mewarisi beban yang tinggi ekoran kadar hutang yang tinggi.
"Kebobrokan Umno-BN yang sering membazir ratusan bilion ringgit saban tahun haruslah ditentang oleh semua rakyat Malaysia. Hutang negara bukan hal yang utama, tetapi paling penting bagaimana wang negara dibelanjakan oleh kerajaan Umno-BN.
"Isu utama yang membelenggu rakyat pada hari ini ialah permasalahan kos sara hidup, gaji dan lambakan pekerja asing di negara ini berbanding isu-isu skandal negara seperti 1MDB," ujarnya .
Justeru katanya,dengan hutang yang semakin bertambah, kerajaan akan terus memerah rakyat dengan cukai GST kerana pendapatan melalui GST, barangan tempatan menunjukkan peningkatan pada 85 peratus daripada RM14 bilion pada 2015 kepada RM25.97 bilion.
"Cukai GST ke atas barangan import pula mencatatkan kenaikan 17 peratus daripada RM12.9 bilion kepada RM15.2 bilion.

"Laporan Ketua Audit Negara saban tahun melaporkan pelbagai jenis pembaziran atas nama projek pembangunan, pembelian aset kerajaan dan sebagainya.
"Adakah wang pinjaman benar-benar disalurkan untuk pembangunan yang akan membawa faedah kepada negara dan rakyat?," soalnya.
Pada 31 Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1, yang dibentangkan di Dewan Rakyat mengemukakan 353 syor bagi membantu kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan negeri memperbaiki kelemahan dilaporkan.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, hasil kerajaan persekutuan pada 2016 berjumlah RM212.421 bilion berbanding RM219.089 bilion pada 2015. Kutipan hasil menunjukkan trend penurunan berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

1 ulasan:

  1. Tak guna saifuddin merungut kerana keadaan memaksa berhutang dan kerajaan tak akan dengarpun.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA