Sabtu, 12 Ogos 2017

Husam gesa Pas mohon maaf kepada umat Islam atas fakta tidak tepat berkenaan Akta 164

KUBANG KRIAN: Pas perlu meminta maaf kepada umat Islam di Malaysia ekoran kenyataan pemimpinnya yang berbaur sentimen keagamaan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 (Akta 164).
Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa berkata, walaupun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor menarik balik tulisannya bertajuk ‘RUU 164: Tragedi Malang Buat Umat Islam di Negara Ini’, namun permohonan maaf terbuka perlu dibuat kerana kandungan tulisan itu yang tidak tepat.
“Saya berharap Pas meminta maaf kepada umat Islam di Malaysia kerana kenyataan Dr Riduan sebelum ini adalah tidak tepat dan berbaur sentimen keagamaan dengan tujuan politik dan kemudian Pas terpaksa tarik balik.
“Penarikan balik ini tidak lengkap kecuali Pas minta maaf atas perkara yang telah mereka bangkitkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Kelantan di Wisma Tok Guru, Salor, hari ini.
Menurut Husam juga, tindakan Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan yang berterima kasih kepada BN kerana membentangkan RUU itu menunjukkan parti itu pada peringkat awal tidak memahami kebaikan daripada pindaan Akta 164.
“Tulisan Dr Riduan Mohd Nor ditarik balik dan Ketua Penerangan Pas telah mengeluarkan satu kenyataan baru iaitu telah berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa pindaan 164 ini.
“Ini menunjukkan bahawa Pas pada peringkat permulaan tidak faham maksud dan kebaikan daripada pindaan ini,” katanya yang juga penasihat AMANAH Kelantan.
“Kemudian Pas telah cuba mengambil ruang untuk mensensasikan sentimen umat Islam negara ini dengan kononnya pindaan akta ini menghancurkan benteng umat Islam yang terakhir di Malaysia,” katanya.

Nasruddin semalam mendakwa DAP dan AMANAH menentang langkah untuk mengugurkan Fasal 88A yang berkaitan dengan penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.
“Terlebih dahulu, saya menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana mendengar desakan dan tuntutan Pas, para mufti, alim ulamak, pengamal undang-undang Islam, NGO dan umat Islam untuk mengeluarkan cadangan Seksyen 88A dari draf pindaan Akta 164 baru-baru ini biar pun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk DAP dan PAN,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA