Selasa, 8 Ogos 2017

Guan Eng: Jangan guna kaum, agama pecah belah rakyat

Ahli Parlimen DAP itu kesal selepas 60 tahun negara merdeka, warna kulit dan agama masih menjadi isu seperti kes pemilikan saham Malindo Airlines oleh orang India.
guan-eng-malindo
KUALA LUMPUR: Selepas 60 tahun merdeka, Lim Guan Eng kesal aspek kaum dan agama masih dijadikan alat untuk memecahbelahkan rakyat negara ini.
“Adakah seseorang tidak cukup bagus dengan pencapaian, kelulusan dan kelayakan akademiknya hanya kerana warna kulitnya berbeza?
“Kita perlu buka buku baru selepas 60 tahun merdeka dengan kembali kepada asas mengenai maksud sebenar menjadi seorang rakyat Malaysia apabila kita mencapai kemerdekaan pada 1957,” kata ahli Parlimen Bagan Lalang itu.
Katanya, rakyat Malaysia boleh mengorak langkah dengan mengiktiraf kejayaan Chandran Rama Murthy memiliki kepentingan Malindo dan mendoakan perkara baik untuknya.
Setiausaha agung DAP itu mengulas tindakan Pemuda Umno dan Perkasa mempersoalkan pemilikan Malindo Air serta mencari penjelasan terhadap pengambilalihan 46% kepentingan syarikat itu oleh Chandran dan isterinya.
Lim berkata, sesetengah orang mempersoalkan kenapa perlu kecoh dan mereka bertindak betul kerana tidak salah rakyat Malaysia berbangsa India memiliki saham dalam sebuah syarikat penerbangan.
Katanya, ia khasnya selepas “ucapan penuh perasaan” Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membasmi kemiskinan kaum India ketika pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB).
“Jelas sekali kononnya pelan induk India ini sebenarnya satu penipuan apabila masyarakat India tidak boleh mendapat kad pengenalan biru dan pemilikan sebuah syarikat penerbangan oleh orang India Malaysia dipersoalkan.”
Beliau berkata, kurang 2 bulan selepas pelancaran itu, timbul kritikan dan permintaan untuk penjelasan daripada Umno dan Perkasa yang jengkel melihat kejayaan seorang India.
Ketua menteri Pulau Pinang itu yang bimbang dengan keadaan itu berkata, rakyat Malaysia perlu “melangkaui sentimen perkauman dimainkan kerajaan pemerintah.”
“Berbanding peluang sama rata, kecekapan dan keadilan, sistem sedia ada sebaliknya memihak individu atau kumpulan berdasarkan kaum dan agama yang dipolitikkan untuk kekalkan status quo mereka yang berkuasa.
“Sudah tiba masanya menghentikan permainan kaum berbahaya ini oleh mereka yang berkuasa. Perlukah kita dengki dengan kejayaan seorang rakyat Malaysia dan mendoakan perkara tidak baik untuknya hanya kerana beliau bukan daripada kumpulan etnik tertentu?”
Lim berkata, seramai 56,576 rakyat Malaysia melepaskan kewarganegaraan mereka antara 2006 hingga 2016.
Menurut laporan Bank Dunia pada 2011, jumlah rakyat Malaysia berkemahiran yang tinggal di luar negara meningkat kepada 300% dalam 2 dekad lalu, dengan 2 daripada setiap 10 rakyat Malaysia berpendidikan tinggi meninggalkan Malaysia.

“Golongan minoriti yang meninggalkan negara ini biasanya menyatakan amalan dan dasar diskriminasi sebagai alasan mereka berhijrah ke luar negara.
“Walaupun ketandusan modal insan Malaysia mencapai tahap kritikal, kita masih memaparkan sikap perkauman berleluasa di dalam negara ini. Ahli politik parti pemerintah, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah memberi sokongan dalam diam terhadap gembar-gembur perkauman ini dengan mendiamkan diri.
Lim berkata, selepas 60 tahun merdeka, kenapa rakyat Malaysia masih mempersoalkan satu sama lain “bukan atas dasar siapakah kita, tetapi dari mana kita datang?”
“Mempersoalkan Chandran tiada beza dengan Umno mempersoalkan asal-usul nenek moyang Tun Dr Mahathir Mohamad secara mengejut (walaupun itu tidak pernah menjadi masalah ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun), sehinggakan Umno keliru antara datuk dan bapanya.
“Sebuah kerajaan yang terus mempersoalkan latar belakang rakyatnya tidak sesuai memerintah.”
Bagaimanapun, katanya, masih ada harapan untuk Malaysia kerana ada orang seperti bekas ketua pegawai eksekutif Malaysia Airlines, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang mempertahankan Chandran dengan berkata: “Beliau ialah rakyat Malaysia. Itu sahaja yang penting.”
“Raikan atau kritik Malindo berdasarkan merit, bukan atas dasar siapa yang memiliki syarikat penerbangan tersebut,” kata Lim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA