Selasa, 1 Ogos 2017

Gobind mahu tahu perkembangan kes ketua polis daerah ditahan SPRM

Ahli Parlimen Puchong itu akan membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan menteri.
Gobind-DeoKerajaan digesa menjelaskan perkembangan pegawai polis yang ditahan Mei lalu berkaitan tuduhan mengambil wang suapan melibatkan pusat judi dan rumah urut di Melaka.
Ahli Parlimen Puchong (DAP) Gobind Singh Deo berkata, sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tangkapan itu, isu itu seolah-olah lenyap tanpa sebarang perkembangan.
“Saya minta menteri dalam negeri berikan jawapan. Kita tidak boleh biarkan begitu sahaja apabila begitu besar liputan diberikan,” katanya merujuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kenapa tiba-tiba siasatan ini hilang dari radar,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Mei lalu, SPRM menahan 13 suspek termasuk ketua polis Jasin dan Melaka Tengah, kerana didakwa terlibat dalam skandal wang di bandar itu.
SPRM turut menemui wang sebanyak RM645,000 di rumah dan akaun bank milik 2 pegawai kanan dan 7 individu lain. Daripada jumlah itu, RM79,000 wang tunai ditemui di rumah ketua polis daerah Melaka Tengah.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 29 Mei, pegawai polis Melaka Tengah direman 7 hari dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000.

Manakala 7 anggota polis termasuk 2 ketua polis daerah bertugas di Melaka dan 3 orang awam dibebaskan dengan jaminan iaitu setiap anggota polis masing-masing sebanyak RM50,000 manakala setiap orang awam RM100,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.
Gobind berkata isu itu akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat bagi meminta penjelasan mengenai perkembangan kesemua anggota polis yang terbabit.
“Adakah kes ini masih berterusan, kenapa hingga ke hari ini tidak ada tindakan, jika ada kenapa tidak diumumkan kepada masyarakat awam? Jika tidak ada tindakan, suatu penjelasan harus diberikan. Saya rasa perkara ini sangat serius.
“Menteri Dalam Negeri selaku menteri bertanggungjawab harus berikan jawapan,” katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sudah mengarahkan agar pegawai dan anggota kontinjen polis Melaka ditukarkan kerana terbabit dengan salah guna kuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA