Sabtu, 5 Ogos 2017


PAS umum pakatan pembangkang kedua September ini
Gagasan Sejahtera Rakyat yang diketuai PAS dijangka bertanding lebih 120 kerusi Parlimen di seluruh negara dan berusaha menjadi pilihan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional dan Pakatan Harapan kepada rakyat.
PAS secara rasmi akan melancarkan pakatan baharu, Gagasan Sejahtera Rakyat pada September ini, menjadikannya pakatan politik ketiga yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Pakatan itu juga dijangka mengumumkan hasrat bertanding di lebih 120 buah kerusi di seluruh negara dalam usaha menawarkan diri sebagai pilihan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PAS Dr Idris Ahmad berkata belum ada pelan untuk membentuk kerjasama pilihan raya, baik dengan BN mahupun PH, membayangkan kemungkinan berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru di seluruh negara pada pilihan raya akan datang.
Para penganalisa sebelum ini berkata sekiranya dua pakatan pembangkang bertanding melawan BN, parti pemerintah itu lazimnya akan menang kerana undi untuk pembangkang akan berpecah.
Selain PAS, blok baru itu dijangka akan disertai oleh Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Pakatan Islam garis tengah itu juga dijangka akan didukung kira-kira 200 pertubuhan Islam, kata Idris, yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.
“Kita akan umumkan juga nanti beberapa intipati utama manifesto. Kita tidak mahu umum semuanya lagi kerana bimbang kalau-kalau idea itu akan ditiru oleh Umno,” kata Idris kepada The Malaysian Insight.
Menurut Idris pelancaran itu dijadual akan diadakan dalam dua minggu akhir September di Kuala Terengganu.
Idea Gagasan itu diumumkan pada Mei lalu, pada Muktamar PAS di Alor Star. Pimpinan baru parti itu di bawah Presiden Abdul Hadi Awang menggariskan hala tuju parti selepas ia berpisah dengan sekutunya sebelum ini, PKR dan DAP di bawah nama Pakatan Rakyat.
PAS sudah membentuk kerjasama dengan PKR sejak 1998 namun nekad memutuskan hubungan itu pada Mei. Ia bagaimanapun mengekalkan tiga pemimpinnya dalam kerajaan Selangor yang diketuai PKR.
Hadi sebelum ini mengumumkan Gagasan mahu menawarkan kepada pengundi satu jenama politik yang matang dan sejahtera.
Ketua penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata Gagasan mensasarkan bertanding 100 kerusi Parlimen dalam PRU14 dan ia mahu mengambil alih kerajaan di Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor.

Idris mengesahkan sasaran itu tetapi menambah matlamat utama ialah menang kerusi yang cukup untuk dapat majoriti mudah daripada 222 buah kerusi di Dewan Rakyat.
“Kami mahu membentuk kerajaan Persekutuan sendiri,” kata Idris.
BN kini menduduki 132 buah kerusi di Dewan Rakyat. PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu mempunyai 71 kerusi manakala PAS hanya ada 15 kerusi.
Dua lagi kerusi, Semporna dan Penampang, dimiliki Parti Warisan Sabah sementara dua wakil rakyat Khalid Ibrahim dan Sim Tong Him masing-masing mewakili kerusi Bandar Tun Razak dan Kota Melaka sebagai ahli Parlimen bebas.
Idris tidak menolak kemungkinan membentuk kerjasama pilihan raya dengan mana-mana pakatan atau parti tetapi menegaskan yang musuh nombor satu pihaknya masih lagi BN.
“Seboleh mungkin kami mahu bertanding satu lawan satu dengan BN. Tetapi kami tidak akan berganjak. Kami tidak akan berganjak daripada mana-mana kerusi yang kami tuntut.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA