Sabtu, 12 Ogos 2017

EXCO PULAU PINANG DITAHAN SPRM UNTUK TUTUP SKANDAL RASUAH

PENAHANAN seorang exco Pulau Pinang semalam disifatkan satu usaha “memburu” pembangkang ketika tidak ada tindakan diambil terhadap pemimpin nasional yang didakwa terlibat dalam rasuah dan kleptokrasi, kata ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen pembangkang itu berkata penangkapan exco kebajikan, masyarakat penyayang dan alam sekitar Phee Boon Poh, seorang veteran DAP negeri itu, sesuatu yang “sangat mengejutkan”.
“Jelas ini satu usaha cari salah untuk mengalihkan perhatian daripada kleptokrasi global. Saya rasa pemimpin atasan Umno sedang gementar, naik gila.
“Macam mana dia boleh ditangkap atas surat yang didakwa, apa dia surat itu?” katanya kepada The Malaysian Insight malam tadi.
Kira-kira jam 4 petang semalam, Phee, Adun Sungai Puyu, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa sedang memberi kenyataan di pejabat agensi itu di Pulau Pinang berhubung dakwaan menggunakan pejabat atau kedudukan untuk mendapatkan ganjaran.
Peguamnya RSN Rayer, Adun Seri Delima yang juga dari DAP yang menemani Phee berkata penahanan itu diarahkan oleh ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Katanya, penyiasat SPRM mahu merekodkan keterangan Phee berhubung beberapa surat berkaitan sebuah kilang haram yang beroperasi di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.
Phee sebelumnya sudah menjelaskan semua surat itu ditulis atas kapasitinya sebagai exco alam sekitar dan dia tidak menerima sebarang rasuah, tambah Rayer.
Menurut laporan media, pengurus kilang itu, 70, dan pengarahnya, 37, juga ditahan oleh SPRM pada 6.45 petang semalam apabila anak beranak itu datang ke pejabat agensi berkenaan untuk memberikan keterangan.
Penahanan Phee dibuat ketika Pakatan Harapan mengadakan siri jelajah menjelaskan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pengundi.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) semalam menangguhkan saman sivilnya untuk menyita sejumlah aset yang didakwa diperoleh menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB, bagi memulakan siasatan kes jenayah.
Kit Siang berkata SPRM nampaknya “sedang digunakan untuk menutup amalan rasuah tingkat tertinggi’, yang merupakan satu tindakan merugikan negara.

“Ia mengesahkan ini satu kleptokrasi dan ‘kakistokrasi’ – sebuah negara yang ditadbir oleh orang yang paling teruk, sangat tidak layak, paling tidak berprinsip dan rasuah.
“Mereka akan menggunakan apa saja cara untuk menutup kleptokrasi dan skandal 1MDB,” katanya.
Sebagai pembangkang di Malaysia dengan Barisan Nasional sebagai pemerintah yang tidak pernah kalah pilihan raya, DAP sudah ditindas selama 50 tahun, kata Kit Siang, yang juga ahli Parlimen Gelang Patah.
Naib Presiden DAP Teresa Kok pula berkata beliau menjangka lebih ramai lagi exco kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang akan disiasat dan mungkin didakwa di mahkamah menjelang pilihan raya umum nanti.

“Saya tidak jelas apakah sebenarnya dakwaan terhadap Phee tetapi sekiranya dia dituduh kerana sebuah kilang haram di Pulau Pinang, ada banyak lagi exco lain dan ahli majlis yang akan berdepan dengan masalah melibatkan kes serupa,” kata ahli Parlimen Seputeh itu.
Kok sendiri didatangi oleh SPRM pada Mac lalu selepas ketua bahagian Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos membuat laporan berhubung bantuan kebajikan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
Pegawai SPRM datang ke pejabatnya dengan waran geledah mencari dokumen asal berkenaan SMUE dan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Kok menyifatkan penyiasatan SPRM yang berpunca daripada laporan Jamal sebagai taktik kotor BN menjelang pilihan raya, yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018.
Dalam pada itu, timbalan ketua menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy berkata jelas ada muslihat politik di sebalik apa yang berlaku.
“Saya tidak pasti apakah ini satu pembanterasan. Kita tidak pasti kenapa Phee ditahan.
“Tetapi satu hal yang jelas, ada muslihat politik untuk mengucar-ngacirkan kerajaan Pulau Pinang,” katanya, sambil menyebut tuduhan rasuah terhadap ketua menteri Lim Guan Eng sebagai satu contoh.
Guan Eng berdepan dua dakwaan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Isnin lalu, Guan Eng berjaya dalam permohonannya terhadap SPRM apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 yang mensyaratkan tertuduh memfailkan pembelaan sebelum perbicaraan bermula, sebagai tidak berperlembagaan
Ramasamy yang juga timbalan setiausaha agung DAP turut bertanya kenapa SPRM tidak mengejar mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB dan banyak lagi dakwaan skandal rasuah yang melibatkan pemimpin BN.
Susulan penahanan Phee, sekumpulan penyokongnya menganjurkan perhimpunan lilin di perkarangan pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Azlan Shah, biarpun hujan.
Pada rapat umum itu, Guan Eng berkata Phee tidak melakukan kesalahan dan beliau juga tidak ada kepentingan dalam kilang haram berkenaan serta tidak pula makan rasuah.
Katanya, Phee melaksanakan tugasnya mengikut dasar kerajaan negara, iaitu menyelesaikan dengan baik, sekiranya ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada orang ramai, isu bangunan haram yang wujud sejak sebelum pembangkang mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2008.
“Di Pulau Pinang, kita tidak melindungi sesiapa pun dalam perang melawan rasuah ini. Kita tahu beliau sememangnya seorang exco yang kaya di negeri ini dan pemimpin berjiwa rakyat,” kata Guan Eng, merujuk kepada kekayaan peribadi Phee yang diwarisinya daripada keluarga.
“Kita yakin dengan beliau dan beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah,” katanya kepada hadirin yang terdiri daripada pemimpin kerajaan negeri, wakil rakyat dan penyokong mereka.
Guan Eng berkata beliau tidak tahu kenapa SPRM menahan Phee tetapi berharap agensi itu akan menyiasat kes tersebut dengan adil dan mengikut undang-undang.
Satu lagi perhimpunan dijadual diadakan pada pagi ini di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang apabila Phee dijangka dibawa ke situ untuk permohonan reman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA