Rabu, 2 Ogos 2017

Dr Mahathir ke Istana Negara minta Agong rujuk pelantikan ketua hakim

Agong mempunyai kuasa membuat rujukan permasalahan perlembagaan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan, kata Pakatan Harapan.
mahathir-istana
KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasanya merujuk balik pelantikan semula Tan Sri Raus Sharif sebagai ketua hakim negara.
Rombongan diketuai Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyerahkan memorandum meminta Agong menggunakan kuasa di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk sama ada pelantikan Raus sebagai ketua hakim negara sah atau tidak kepada Mahkamah Persekutuan.
“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pelantikan 2 jawatan yang diumumkan itu adalah oleh Tuanku YDPA atas nasihat perdana menteri, maka Tuanku berhak untuk menampilkan perkara ini untuk diputuskan mahkamah sebelum ia berkuatkuasa,” kata memorandum itu.
Turut hadir di pintu Istana Negara hari ini ialah pemimpin DAP Lim Kit Siang dan pemimpin Amanah, Datuk Mujahid Yusof.
“Pihak istana memberi kerjasama dan sambutan yang baik,” kata Tun Mahathir.
Dr Mahathir berkata sekiranya isu pelantikan Raus sebagai ketua hakim tidak ditangani segera, ia mewujudkan krisis kehakiman kerana semua perbicaraan atau keputusan selepas pelantikan yang berkuatkuasa 4 Ogos ini akan menjadi tidak sah.
“Malah sistem pentadbiran badan kehakiman yang juga dikendalikan oleh ketua hakim negara akan menjadi cacat disebabkan badan kehakiman tidak diuruskan hakim yang sah di sisi perlembagaan,” kata memorandum itu.

Pada 7 Julai lalu, kerajaan berkata Agong menerima nasihat bekas ketua hakim Tun Arifin Zakaria untuk melantik Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkata Raus dan Zulkeflki dikekalkan atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada Mei.
Khidmat Raus dilanjutkan 3 tahun mulai 4 Ogos sementara Zulkefli kekal untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.
Ia menerima kritikan pengamal undang-undang, termasuk Badan Peguam Malaysia, yang mempertikaikan sama ada pelantikan Raus dan Zulkefli itu sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Mereka berkata pelanjutan itu memberi gambaran para hakim kanan sedia ada tidak cukup layak untuk jawatan itu.

1 ulasan:

  1. Aku rasa permintaan dr M tidak dapat dipenuhi Agong kerana kuasa beliau telah ditarik semasa dr M memerintah dulu. Jadi segala nasihat pm, betul atau salah, Agong kena setuju. Jika tak sign pun undang² tetap berjalan juga.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA