Jumaat, 4 Ogos 2017

Dr Dzulkefly: Satu demi satu berita ‘malang’, Najib rimas cari tarikh PRU14

Pemimpin Amanah itu bertanya sama ada lebih baik perdana menteri memberi laluan kepada penggantinya, tetapi siapa?
Dr-Dzulkefly-Ahmad-voter
Projek Bandar Malaysia yang terbengkalai, kegagalan IMDB membayar balik hutang dan skandal pembelian Scorpene yang kembali hangat adalah cukup untuk menyulitkan Datuk Seri Najib Razak menetapkan tarikh pilihan raya umum ke-14, kata Dr Dzulkefly Ahmad.
Pengarah strategi Amanah itu berkata beberapa perkembangan terkini bukan sahaja membuatkan perdana menteri “rimas” tetapi juga “kaget”.
“Kalau pun Najib telah mencongak-congak tarikh membubar Parlimen, kini semuanya menjadi pudar dan Najib kembali tercari-cari. Situasi ini amat siksa dan menyiksakan.
“Apakah lebih baik Najib berundur sahaja bagi menyelamatkan partinya atau Umno undurkan Najib?” kata Dzulkefly, yang bagaimanapun mempersoalkan sama ada wujud calon yang boleh menggantikan Najib.
Dzulkefly merujuk beberapa siri laporan yang dilihat memberi kesan kepada Najib, termasuk langkah pihak berkuasa Perancis memulakan prosedur mendakwa bekas penasihatnya Abdul Razak Baginda atas tuduhan rasuah dalam pembelian 2 kapal selam Scorpene ketika Najib menjadi menteri pertahanan pada 2002.
Isnin lalu, 1MDB mengakui ia gagal membuat ansuran pertama hutang AS$1.2 bilion kepada syarikat IPIC milik Abu Dhabi, sebaliknya memohon tempoh akhir dilanjutkan 5 hari.
Dzulkefly turut merujuk projek Bandar Malaysia yang ditimpa masalah selepas syarikat Dalian Wanda dari China disekat kerajaan China daripada meneruskan hasratnya mengambil alih pembinaan projek mega itu.
Dalian Wanda dialu-alukan Najib sebagai pengganti konsortium IWH-CREC yang dibatalkan kontraknya oleh kerajaan.
Menurut Dzulkefly, masalah yang melanda Bandar Malaysia adalah disebabkan “kegopohan Najib” yang “tergesa-gesa” menamatkan kontrak IWH-CREC.
Katanya, ia ditambah dengan rancangan presiden China melawat Malaysia yang tidak menjadi.
“Nasib malang menimpa PM Najib bagai tiada penghujung,” kata Dzulkefly.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA