Sabtu, 12 Ogos 2017

Bidang kuasa tidak jelas punca kontroversi ‘bin Abdullah’


Bidang kuasa tidak jelas punca kontroversi ‘bin Abdullah’
Bekas peguam negara Abu Talib Othman berkata pengasingan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah yang kurang jelas menyebabkan kontroversi “bin Abdullah” kepada anak luar nikah. 
PERSOALAN mengenai hak kerajaan memberi nama “bin Abdullah” kepada anak luar nikah berpunca daripada pengasingan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah yang kurang jelas, kata bekas peguam negara Abu Talib Othman.
Beliau berkata kontroversi itu juga berlaku kerana keputusan hakim yang berubah-ubah dalam kes hak penjagaan anak yang melibatkan salah seorang ibu bapa yang beragama Islam.
“Mereka tidak mahu membuat keputusan yang jelas. Mereka mengelak, itu sebabnya kita ada keputusan yang saling bercanggah (antara satu sama lain),” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.
Mahkamah Rayuan dalam penghakiman penting pada 27 Julai, menerima rayuan sepasang suami isteri yang memohon kepada ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membenarkan seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.
Ketua pengarah JPN Mohd Yazid Ramli dalam reaksinya berkata jabatan itu akan terus menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah sehingga kes dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan.
Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha berkata pihaknya akan meneruskan penasaban anak tidak sah saraf orang Islam seperti sedia ada, selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Badan Peguam Malaysia, ahli Parlimen dan pertubuhan hak asasi manusia mengutuk kedua-dua kenyataan itu sebagai menghina mahkamah.
“Malang sungguh ketua pendaftar tampaknya tidak gembira untuk menerima penghakiman itu. Bagi saya, tindakannya itu jelas menghina mahkamah.
“Macam mana anda boleh tidak hormat keputusan mahkamah ketika mana kerajaan berikrar mematuhi kedaulatan undang-undang,” katanya.
Berikut petikan wawancara berkenaan:
TMI: Apabila Klausa 88A digugurkan daripada rang undang-undang pindaan (Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976), agama anak selepas ibu atau bapanya memeluk agama Islam masih tidak berjawab. Tidakkah undang-undang mengenai hal ini sepatutnya lebih jelas?
Abu Talib: Isunya sekarang Malaysia mengiktiraf sistem dwikehakiman: sivil dan syariah. Ia menimbulkan banyak kekeliruan. Untuk mengatasinya, semasa saya jadi peguam negara, saya cadangkan pindaan kepada Perlembagaan yang menjadikan mahkamah sivil tiada bidang kuasa terhadap hal yang jatuh di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
TMI: Tetapi bagaimana dengan kes apabila salah seorang ibu atau bapa bukan beragama Islam?
Abu Talib: Malangnya, hakim yang mengendalikan kes ini mengelak, tidak membuat keputusan tuntas. Mereka mengelak. Itu sebabnya kita dapat keputusan yang bercanggah (antara satu sama lain).
TMI: Adakah rang undang-undang dibuat tergesa-gesa?
Abu Talib: Saya tidak tahu. Saya kira mereka sudah membincangkannya untuk satu tempoh yang lama, merujuk pakar dan sebagainya. Itu yang saya baca di akhbar. Mereka berunding dengan hakim syarie, ada banyak rundingan. Jakim mengendalikan banyak rundingan sebelum mereka sampai pada cadangan untuk meminda undang-undang. Itu yang saya baca di akhbar.

TMI: Sekiranya kerajaan mengukuhkan undang-undang Islam seperti rang undang-undang yang dicadangkan oleh Abdul Hadi Awang, pindaan kepada Akta 355, apakah ini mendatangkan masalah sekiranya skop bidang kuasa syariah diperluaskan?
Abu Talib: Bergantung pada peruntukan yang mana kerana negara ini mengiktiraf dwisistem. (Bidang kuasa) syariah tidak luas seperti sivil. Kesalahan mencuri misalnya. Kita ada peruntukan menyatakan ia terletak di bawah undang-undang sivil, jadi (undang-undang syariah) tidak terpakai. Ini jelas dalam Perlembagaan. Ia tidak boleh diperluaskan sekiranya bertentangan dengan sekatan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
TMI: Wakil rakyat Sarawak menentang rang undang-undang Hadi dan mengatakan mereka bimbang syariah akan diperluaskan untuk ada kanun keseksaannya sendiri.
Abu Talib: Saya tidak fikir akan jadi begitu. Undang-undang Islam undang-undang negeri. Undang-undang negeri tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ada hadnya bagi undang-undang syariah. Itulah sebabnya kenapa mahkamah sivil dalam kes “bin Abdullah” mengatakan ia (mendaftarkan anak tidak sah taraf dengan “bin Abdullah”) salah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA