Rabu, 2 Ogos 2017

Bekas menteri ‘tak ingat’ Kabinet bincang pembelian Scorpene

Tiga daripada 5 bekas menteri yang dihubungi FMT menyatakan mereka tidak ingat pembelian 2 kapal selam Scorpene pada 15 tahun lalu, pernah dibincangkan dalam Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
kabinet_kapal-selam_600_new
PETALING JAYA: Kebanyakan bekas menteri di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad “tidak ingat” pembelian 2 kapal selam Scorpene dari Perancis pernah dibincangkan Kabinet diketuai perdana menteri selama 22 tahun itu.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau tidak ingat pembelian kapal selam pada 2002 kerana isu itu terlalu lama.
“Saya tak tahu. Mungkin tidak. Jika Dr Mahathir cakap macam itu, dia adalah pengerusi ketika itu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir hari ini yang beliau hanya tahu Kementerian Pertahanan membeli 2 kapal selam Scorpene dari Perancis 15 tahun lalu, selepas meletak jawatan.
Dalam wawancara bersama portal The Malaysian Insight, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
“Saya tidak pernah mahu membeli kapal selam kerana kita tidak boleh menggunakannya. Kita tidak bolej menggunakan kapal selam di Selat Melaka.
“Dan kita tidak ada wang (ketika itu). Kosnya tinggi.
“Tiba-tiba, selepas saya meletak jawatan, saya dapat tahu menteri pertahanan menempah 2 kapal selam,” kata Dr Mahathir yang bersara dari kerajaan pada 2003.
Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting juga tidak ingat Kabinet pernah membincangkan pembelian kapal selam Scorpene.
“Saya tak rasa saya mahu komen tentang perkara yang saya tak ingat.”
Bekas menteri luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, beliau tidak ingat langsung mengenai pembelian kapal selam Scorpene pernah dibincangkan Kabinet.
“Saya tak ingat langsung ada perkara itu dibincangkan atau tidak. Kerana biasanya sebelum mana-mana pembelian, mana-mana tender…tidak dibincangkan dalam Kabinet.
“Selalunya keputusan dari lembaga tender…Kementerian Kewangan,” katanya.
Bekas menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim berkata, sebarang perkara yang dibincangkan dalam Kabinet akan direkodkan.

“Jadi, mereka perlu menggunakan minit dan bagi mendapatkan minit, mereka perlu mendapatkan kebenaran kerana ia adalah dokumen rahsia.”
Bekas menteri kerja raya, Datuk Seri S Samy Vellu pula enggan mengulas pembelian 2 kapal selam Scorpene dari Perancis pada 15 tahun lalu.
Pembelian 2 kapal selam Scorpene dan sebuah lagi kapal selam Agosta menjadi kontroversi sejak beberapa tahun lalu selepas dikaitkan dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang rapat dengan Datuk Seri Najib Razak yang merupakan menteri pertahanan di bawah Kabinet Dr Mahathir.
Semalam, AFP melaporkan Razak didakwa di Perancis, 2 minggu lalu, kerana bersubahat “secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat” berhubung penjualan 2 kapal selam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA