Jumaat, 11 Ogos 2017

Altantuya: Balu PI Bala saman semula Najib, Rosmah dan 7 lagi

Keluarga Balasubramaniam kali ini memfailkan saman terhadap Najib, isterinya Rosmah dan 7 yang lain atas alasan mengalami kesengsaraan disengajakan akibat terpaksa meninggalkan Malaysia dan tinggal di India.
A-Santamil-Selvi-najib-rosmah2PETALING JAYA: Keluarga penyiasat bebas mendiang P Balasubramaniam sekali lagi memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan 7 yang lain, kali ini atas alasan mengalami kesengsaraan disengajakan akibat terpaksa meninggalkan Malaysia dan tinggal di India.
A. Santamil Selvi, yang bertindak bagi harta pusaka Balasubramaniam dan anak mereka berkata, kesemua 9 defendan telah memaksa mereka meninggakan rumah mereka di Malaysia dan kehilangan kehidupan normal mereka, selain mengalami kerugian kewangan dan bukan kewangan.
Mereka mendakwa telah mengalami trauma dan penderitaan mental yang disebabkan oleh defendan dan kehilangan tempat berteduh di persekitaran yang biasa.
Santamil bersama-sama dengan 2 anaknya, Kishen dan Menaga menuntut ganti rugi dengan faedah kerugian yang dialami sejak Julai 2008 ekoran persekitaran dilalui mereka selama 5 tahun.
“Defendan masing-masing bertanggungjawab atas kesengasaraan atau kemudaratan disengajakan yang disebabkan dan diderita oleh plaintif,” kata mereka dalam saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lepas.
Peguam Americk Sidhu berkata, peguam bagi kesemua defendan semasa pengurusan kes semalam memohon untuk membatalkan saman itu.

Mereka juga mahu memfailkan pembelaan sementara menunggu keputusan permohonan untuk membatalkan saman itu, kata beliau kepada FMT.
Americk berkata peguam untuk defendan juga mempersoalkan kewibawaan beliau untuk bertindak bagi pihak plaintif.
Pengurusan kes seterusnya dijadualkan di hadapan Hakim Hiew Siew Kheng pada 6 September ini.
Tujuh yang turut dinamakan defendan ialah adik-beradik Najib, Ahmad Johari, Mohd Nazim, peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham, Arunampalam Mariampillai, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
Balasubramaniam, yang lebih dikenali sebagai PI Bala, sebelum ini terlibat dalam kontroversi 2 akuan bersumpah berkanun (SD) yang bercanggah berhubung isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Dalam saman ini, keluarga tersebut berkata defendan telah menyebabkan SD ke-2 Balasubramaniam dirangka tanpa arahannya dan seterusnya menyebabkan beliau menandatanganinya di bawah situasi terancaman dan paksaan.
Beliau terpaksa meninggalkan Malaysia untuk India tergesa-gesa selepas menandatangani SD ke-2 pada Julai 2008, sehari selepas yang pertama dikeluarkan.
SD ke-2 bertarikh 4 Julai 2008 telah membersihkan Najib daripada sebarang penglibatan dalam kes itu.
Balasubramaniam dalam SD ke-2 berkata beliau ingin menarik balik keseluruhan kandungan SD pertama bertarikh 1 Julai kerana ia dibuat di bawah tekanan.
Pada 3 Julai 2008, Balasubramaniam memberitahu sidang akhbar yang diuruskan PKR bahawa kandungan SD pertama yang membabitkan Najib dan beberapa yang lain dalam pembunuhan Altantuya adalah benar.
Balasubramaniam, saksi utama dalam perbicaraan Altantuya, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu setelah pulang dari India.
Beliau pernah bekerja untuk penganalisis politik dan rakan kongsi Najib, Abdul Razak Baginda yang mengupahnya untuk memantau Altantuya sebelum kehilangannya.
Pada bulan Jun 2014, Santamil dan 3 anaknya memfailkan saman konspirasi selepas penemuan bukti baharu muncul untuk membabitkan kesemua 9 defendan dalam melakukan kesalahan yang dikatakan terhadap mereka.
Pada bulan Disember 2014, Mahkamah Tinggi mengetepikan saman itu kerana Santamil tidak memperoleh surat pentadbiran untuk mewakili harta pusaka suaminya.
Mahkamah juga memutuskan saman itu tidak mempunyai asas tindakan kerana bahan-bahan sokongan telah hilang.
Mahkamah Rayuan menolak notis rayuan Santamil atas alasan 8 notis rayuan yang berasingan sepatutnya difailkan.
Bagaimanapun, mahkamah rayuan itu kemudiannya mendengar rayuan terhadap Deepak kerana beliau tidak memohon untuk membatalkan notis rayuan tersebut.
Mahkamah Rayuan mengetepikan bantahan terhadap Deepak dan memerintahkan perbicaraan untuk meneruskan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun rayuan Deepak di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dibenarkan yang dengan jelas menandakan saman Santamil berakhir.

1 ulasan:

  1. Keluarga najib ni mmg sial kena sumpah. Lps satu satu BALA menimpa. Apa agaknya kesalahan mrk?

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA