Rabu, 9 Ogos 2017

Ahli PAS hangat berdebat, boleh atau tidak terima duit Umno


Ahli PAS hangat berdebat, boleh atau tidak terima duit Umno
Persoalan mengenai PAS dan wang Umno meletup apabila menantu presiden PAS menolak dakwaan pengarah pilihan raya Pemuda PAS yang Abdul Hadi Awang merestui ahli terima wang Umno. 
BOLEH atau tidak PAS terima duit daripada Umno? Persoalan boleh atau tidak itu kini jadi perdebatan hangat dalam PAS.
Akibat panas dengan isu itu, bekas ketua penerangan Pemuda PAS Selangor Ahmad Hakimi Othman yang selama ini sangat aktif dalam media sosial mengambil sikap mahu “berundur” daripada isu politik.
Beliau keluar daripada beberapa kumpulan diskusi di media sosial kerana tidak mahu terlibat dengan fitnah politik.
"Akhir zaman ini, selepas satu fitnah/ujian, datang ujian lagi. Setiap ujian apabila bersilih ganti, semakin sukar. Fitnah hari ini, lebih berat daripada semalam, ujian esok lebih berat daripada hari ini.
"Kebenaran dan proses kebenaran macam bara api yang digenggam. Menggenggam kebenaran sakit tangan terbakar. Melepas kebenaran, badan pula hangus terbakar oleh api neraka," kata Hakimi kecewa dengan apa yang berlaku dalam parti itu.
Debat ini meletup apabila menantu presiden PAS, Zaharudin Mohamad secara terbuka menulis menolak dakwaan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat Nurul Islam Mohamad Yusof yang Presiden PAS Abdul Hadi Awang merestui ahli PAS menerima wang dari Umno.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) itu berkata dakwaan Nurul Islam kononnya Hadi "membenarkan ambil duit Umno dalam satu ziarah yang dihadiri sahabat dan kenalan saya" itu tidak benar.
"Setelah saya menghubungi hampir semua yang hadir dalam majlis tersebut, saya dapati dakwaan Nurul Islam berupa fitnah yang berat terhadap TG (Hadi) dan perbuatan ini boleh menconteng arang bukan saja ke muka TG, bahkan kepada PAS secara amnya jika tidak dibendung," kata Zaharudin dalam penafian yang dimuat naik ke Facebook.
Zaharudin berkata beliau kenal Hadi jauh lebih dekat kalau hendak dibandingkan dengan Nurul Islam.
"(Hadi) seorang yang tegas tentang banyak perkara. Apabila biras saya, Ustaz Akmal Kamarudin, Ketua Pemuda PAS Perak ditawarkan seorang ahli Parlimen Umno untuk pergi haji pun, beliau bertegas tidak membenarkan.
"Beliau juga sentiasa berpandangan Ettihad Ulama Antarabangsa perlu berhati-hati dengan bantuan kewangan daripada kerajaan Teluk dibimbangkan boleh mempengaruhi fatwa dan keputusan," tulis Zaharudin.
Zaharudin berkata Hadi juga banyak bercerita kepadanya tentang tawaran wang daripada kuasa dan negara luar kepada pimpinan sebelum ini, tetapi semuanya ditolak.
"Ada seorang pimpinan kanan pernah “diengage” ejen CIA dengan tawaran wang, tetapi semua itu ditolak sekalipun mereka tak memberikan apa-apa syarat," katanya.

Zaharudin berkata Hadi sentiasa berpesan kepadanya tentang tiga perkara iaitu duit terutamanya jika datang daripada Umno, pangkat terutamanya jika dilantik oleh Umno dan berjaga-jaga tentang fitnah perempuan.
"Saya masih ingat, pada suatu pagi sewaktu saya mahu turun ke pejabat, TG minta saya duduk sekejap.
"Saya ingatkan apa, rupanya semata-mata berpesan supaya awas jika ditawarkan duit, pangkat dan perempuan," katanya.
Oleh itu, katanya beliau sangat hairan apabila Nurul Islam boleh mendakwa Hadi bersetuju mengambil duit daripada Umno dalam majlis dihadiri semua rakan yang dikenalinya.
Zaharudin berkata beliau sudah bertanya hampir semua mereka yang hadir dan jawapan mereka bercanggah dengan dakwaan Nurul Islam.
Menurut ceritanya, dalam majlis itu Hadi empat kali ditanya seorang exco Pemuda PAS dan empat kali juga Hadi menyebut larangan mengambil duit Umno dan menyebut PAS ada ramai ahli dan penyokong korporat, kenapa mesti daripada Umno.
Sehubungan itu, Zaharudin berkata jika ada pimpinan PAS yang mengambil duit Umno dan Pakatan Harapan, beliau dan kawan-kawannya “akan lawan sekalipun terguling”.
"Ini kerana penerimaan dana daripada pihak yang menjadi lawan yang ada konflik kepentingan boleh memberi kesan hala tuju dan bias kepada sesuatu keputusan parti," katanya.
Sementara itu, Nurul Islam ketika dihubungi The Malaysian Insight enggan mengulas dakwaan Zaharudin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA