Khamis, 3 Ogos 2017

Ahli parlimen pembangkang serah memo gesa Bank Negara siasat 1MDB



Ahli-ahli parlimen pembangkang diketuai Datuk Seri Wan Azizah Ismail tengahari tadi menyerahkan memorandum kepada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa siasatan dijalankan terhadap syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagi menunjukkan kesungguhan mereka terhadap isu ini, kumpulan anggota parlimen itu berjalan kaki sejauh hampir 2.5 km daripada Parlimen ke Bank Negara untuk menyerahkan memorandum menggesa Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim memulakan siasatan terhadap 1MDB.
Dr Wan Azizah bercakap kepada pemberita setelah mengetuai sepuluh wakil ahli parlimen pembangkang menyerahkan memorandum kepada BNM.Selain Dr Wan Azizah yang juga ahli parlimen Permatang Pauh, turut berarak ahli parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, ahli parlimen Bagan Lim Guan Eng, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin, ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
Kumpulan 30 ahli parlimen itu juga turut mengarak sepanduk bertulis "Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi".
Setibanya di pintu pagar utama BNM, sepuluh wakil mereka dibenarkan memasuki premis BNM untuk menyerahkan memorandum.
Dalam satu kenyataan media bersama Dr Wan Azizah (PKR), Kit Siang (DAP), Datuk Dr Mujahid Yusof (Amanah), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (PPBM), Ignatius Dorell Leiking (Warisan) dan Mahfuz (Pas), mereka membangkitkan maklumat dari dokumen saman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkenaan aliran wang yang dipercayai diseleweng dari dana 1MDB melalui pengubahan wang haram yang mengguna pakai institusi perbankan di negara ini.
Aliran wang haram itu, ujar mereka termasuk:
1. USD732.3 juta yang didakwa disalurkan ke dalam satu akaun AmBank yang dimiliki Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di antara Februari 2011 hingga Jun 2014; dan
2. USD620 juta yang didakwa dihantar ke luar negara pada 26 Ogos 2013 daripada akaun AmBank yang sama ke akaun syarikat Tanore Finance Corporation di BSI Bank, Singapura.
Maklumat ini, ujar mereka telah diketahui umum selepas pengumuman denda kompaun yang dikenakan BNM terhadap 1MDB.
"Kami juga meminta BNM untuk menyiasat kesahihan pelaburan 'unit' yang pada seketika waktu bernilai USD2.318 bilion yang sebelum ini disimpan di dalam akaun Bank BSI, Singapura sebagai bank pemegang amanah (custodian bank).
"Kami percaya bahawa kegagalan 1MDB untuk menebus pelaburan 'unit' tersebut untuk membayar hutang kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC), telah menjejaskan integriti sistem kewangan Malaysia," kenyataan media itu dipetik.
Sehubungan itu, mereka menggesa BNM menyiasat butiran aduan tersebut secara proaktif dan telus serta bersedia memberikan sebarang kerjasama jika perlu demi rakyat Malaysia dan integriti sistem kewangan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA