Jumaat, 4 Ogos 2017

Agamawan korup di sebalik pengharaman buku, kata novelis Malaysia

Penulis kontroversi Faisal Tehrani melihat agamawan korup penghalang kebebasan bersuara, dan melemahkan kemampuan menjawab kritikan.
Faisal-Tehrani2
Akademik dan karyawan Faisal Tehrani berucap di Festival Sastera Asean di Jakarta, malam tadi.
JAKARTA: Pengharaman buku oleh pihak berkuasa Malaysia boleh dikaitkan dengan agamawan korup dan kemunculan ekstemisme di seluruh dunia yang mengancam kebebasan individu, kata novelis dan ahli akademik Dr Faizal Musa.
“Ia satu lagi bentuk keganasan,” kata Faizal atau lebih dikenali dalam dunia kesusasteraan tempatan sebagai Faisal Tehrani.
“Saya pula seorang lagi mangsa dalam perang itu,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Festival Sastera Asean di Jakarta, Indonesia malam tadi.
Acara 4 hari itu menghimpunkan penyajak, penulis lakon, sarjana dan artis di rantau ini.
Faisal mula menulis pada umur 16, dan novelnya “1515” merangkul Anugerah Buku Negara pada 2005. Buku itu dijadikan teks bacaan program pengajian Melayu di Universiti Cologne, Jerman.
Meskipun seseorang penulis mungkin lebih popular apabila bukunya diharamkan, Faisal bagaimanapun tidak merasakan begitu.
“Hidup rasa sunyi apabila diharamkan. Orang tidak lagi mahu mengundang kamu ke acara deklamasi sajak. Buku-buku kamu yang terpenting tiba-tiba tiada lagi di kedai buku,” kata penulis berusia 43 tahun itu, yang setakat ini sudah menulis lebih 30 novel dan penulisan akademik, 6 daripadanya diharamkan kerajaan Malaysia.
Antaranya “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala” dan “Ingin Jadi Nasrallah”, yang menurut Kementerian Dalam Negeri dipengaruhi dianggap “sesat” atas konsep Syiah, aliran yang ditolak pihak berkuasa Islam di Malaysia.
Malahan buku yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2012 juga diharamkan 2 tahun kemudian atas alasan “mengancam ketenteraman awam”.
Alasan yang sama diberikan apabila Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini mengharamkan “Breaking the Silence: Voices of Moderation – Islam in a Constitutional Democracy”, himpunan esei mengenai peranan Islam yang diterbitkan G25, kumpulan bekas penjawat awam Melayu yang menggesa ke arah kesederhanaan agama.
Syiah
Namun tidak semua karya Faisal mencabar “Islam jabatan” yang ditentangnya secara terang-terangan, seperti novel “Bagaimana Anyss Naik Ke Langit”, yang menceritakan penderitaan kaum orang asal Penan di Sarawak.
“Walaupun tidak diharamkan, kedai buku enggan menjualnya. Pengharaman komersial itu membuktikan ketakutan merayap dengan berkesan sekali,” katanya.
Antara aduan pengkritik karyanya ialah ia condong ke arah kepercayaan Syiah, yang juga sebab di sebalik gelaran “Tehrani”, merujuk kepada ibu negara Iran, yang majoritinya umat Islam Syiah.
Faisal tidak menafikan karyanya “sarat dengan kandungan Syiah”, namun ia untuk menonjolkan sokongan kepada kebebasan beragama dan penentangan terhadap “Islam jabatan” di Malaysia.
“Saya bantah idea melaksanakan undang-undang syariah. Saya bantah Wahabisasi Malaysia,” katanya, merujuk kepada tafsiran Islam ultra-konservatif yang tersebar luas di Arab Saudi.
Faisal berkata pandangannya menyebabkan dirinya dimusuhi dalam kalangan kumpulan Islam tempatan.
“Daripada seorang penulis sastera Melayu terkenal, saya kini penulis paling terpinggir.
“Apa sebenarnya yang berlaku? Kerana percaya saya seorang pengikut ajaran Syiah, masyarakat Syiah yang tertindas di negara saya memohon bantuan saya.”
Agamawan korup

Faisal tidak merahsiakan kebenciannya terhadap birokrat Islam yang beliau salahkan di atas pengharaman bukunya.
“Secara khususnya, punca masalahnya ialah agamawan Islam. Di Malaysia, kamu tidak boleh cabar agamawan korup itu. Mereka tidak boleh disangkal,” katanya.
Beliau berkata sikap birokrat agama bertentangan dengan kemampuan Islam bertahan walaupun berdepan kritikan.
“Agama yang kebal dari penentangan, kritikan, percanggahan pendapat mahupun cemuhan dari dalam dan luar. Saya percaya agama saya – Islam – ada kemampuan itu, tetapi agamawan Melayu mudah tersinggung,” tambahnya.
Namun kerana percaya mata pena lebih tajam daripada mata pedang, Faisal berkata 2 dekad menangani halangan tidak mematahkan semangatnya.
“Saya masih percayakan sastera, dan dalam perang ini yang dilancarkan puak pelampau, kata-kata dan cerita terbukti senjata ampuh untuk melawan mereka.
“Saya akan terus menulis. Maaf. Saya tidak akan berundur. Saya tidak akan berpaling ke belakang.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA