Jumaat, 4 Ogos 2017

2 faktor BN mungkin tewas PRU14

Global Risk Insights berkata, faktor Dr Mahathir dan skandal 1MDB mungkin punca pembangkang boleh memerintah negara ini pada PRU14.
mahathir-1mdbKUALA LUMPUR: Faktor Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pembangkang dan skandal 1MDB mungkin menjadi punca Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Penilaian itu dibuat Global Risk Insights, sebuah penerbitan antarabangsa mengenai berita dan analisis risiko politik, yang diasaskan di London School of Economics.
Laporan itu menyimpulkan PRU14 penting kerana Dr Mahathir kembali aktif dalam politik dan skandal 1MDB yang terus membelenggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin menjadi punca kemenangan bersejarah buat pembangkang.
Menurutnya, walaupun BN tidak pernah kalah dalam PRU dan semua perdana menteri Malaysia datang daripada Umno, kini tidak pasti jika parti itu dapat terus memerintah negara.
Undi popular yang diperolehi BN merosot secara perlahan-lahan sejak beberapa PRU lalu.
Pada 2004, BN memenangi 63.8% undi sebelum ia merosot kepada 51.4% pada 2008 dan 47.4% undi popular pada 2013.
Bagaimanapun, ia kekal menguasai Parlimen, sebahagian besarnya disebabkan cara persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Laporan itu menyatakan penting untuk Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, keluar daripada persaraan pada usia 92 tahun untuk menyertai Pakatan Harapan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipenjarakannya, bagi menundukkan parti yang pernah dipimpinnya.
Dr Mahathir dianggap tokoh yang mampu menyatukan Pakatan Harapan berpecah belah dan kepimpinannya mampu membantu gabungan pembangkang memenangi kerusi di kawasan luar bandar yang sukar ditembusi pembangkang sebelum ini.
Satu lagi faktor ialah kaitan Najib dengan skandal 1MDB. Penyiasat Amerika Syarikat mengaitkan wang yang didakwa diseleweng daripada 1MDB ke akaun rakan dan sekutunya.
Bagaimanapun, Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan pembabitannya dalam penyelewengan dana 1MDB.

Laporan itu berkata, PRU14 mungkin menjadi penentu bagi politik Malaysia yang dilanda skandal rasuah, termasuk 1MDB, Felda Global Ventures Holdings (FGV), National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKRZ).
Menurutnya, orang ramai semakin marah dengan kronisme, rasuah dan ketaksamaan bersistematik – bukan hanya di Malaysia, tetapi di beberapa negara lain seperti Brazil dan Pakistan.
Dahulu, katanya, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kapasiti perkongsian maklumat dan media massa yang terhad mungkin menyekat kebimbangan pengundi Malaysia mengenai rasuah.
Tetapi, hari ini, kapasiti perkongsian maklumat yang lebih baik dan cubaan pembangkang menggunakan dakwaan rasuah mungkin mengubah keadaan buat BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA