Khamis, 3 Ogos 2017

1MDB tidak mampu bayar IPIC kerana tidak dapat mengewangkan unit

Mana-mana bank yang memudahkan penjualan unit dana pelaburan 1MDB akan melakukan kesalahan memudahkan pengubahan wang, kata Tony Pua.
Tony-Pua_1mdb_ipic_600
PETALING JAYA: Tony Pua berkata beliau tahu mengapa 1MDB tidak dapat membuat bayaran AS$603 juta (RM2.6 bilion) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), yang sepatutnya dilakukan pada 31 Julai lepas.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu 1MDB sebelum ini berkata “hutang itu akan dilangsaikan oleh 1MDB, terutamanya menerusi pengewangan unit dana pelaburan milik 1MDB”.
“Jadi, mereka tidak ada dana kerana ‘tiada bank di dunia ini yang sanggup memproses penjualan unit dana pelaburan milik 1MDB’.
“Ini kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan unit-unit itu melibatkan penipuan. Ia dicipta untuk menutup lebih AS$1 bilion yang digelapkan dari 1MDB ke Good Star Limited apabila niatnya ialah melaburkan dana itu di PetroSaudi International Limited.
“Mahkamah Singapura juga mengesahkan penganalisis kewangan dari NRA Capital di Singapura diberi rasuah untuk menghasilkan laporan penilaian palsu mengenai unit-unit pelaburan itu,” kata Tony.
Beliau menambah oleh sebab tindakan di luar negara, mana-mana bank, sama ada Malaysia atau antarabangsa, yang memudahkan transaksi melibatkan penjualan unit pelaburan 1MDB yang melibatkan penipuan itu akan melakukan kesalahan memudahkan pengubahan wang.
Kenyataan 1MDB pada 31 Julai mengakui ia tidak boleh membuat pembayaran kepada IPIC kerana belum menerima dana.
“Oleh kerana keperluan untuk mendapatkan kelulusan pengawalseliaan tambahan, penerimaan dana tersebut ditangguhkan hingga Ogos 2017.
“Memandangkan dana ini akan digunakan untuk membayar IPIC, 1MDB menulis kepada IPIC untuk memaklumkan kepada mereka tentang komitmen kami untuk memenuhi obligasi, yang asalnya pada 31 Julai 2017 pada Ogos 2017,” kata 1MDB.

1MDB perlu membayar ansuran pertama sebanyak AS$602,725,000 pada 31 Julai sebahagian sebahagian daripada penyelesaian yang dicapai IPIC, 1MDB dan Kementerian Kewangan di Mahkamah Timbangtara London tahun ini.
IPIC berkata mereka belum menerima bayaran itu, serta AS$26 juta lagi yang sepatutnya dilakukan pada 31 Julai.
“Satu-satunya cara untuk 1MDB membayar balik IPIC ialah kerajaan membayar IPIC secara terus.
“Bagaimanapun, jika itu berlaku, kerajaan secara langsung mengakui 1MDB menjalankan pelaburan yang melibatkan penipuan dan berbilion dolar sudah hilang dan dicuri dari syarikat itu,” katanya.
Beliau menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berterus-terang mengenai skandal RM50 bilion 1MDB itu.
“Kalau tiada apa yang mahu disembunyikan dan jika apa yang kami katakan ini tidak berasas, datanglah ke Parlimen, jawab soalan dan debat secara terbuka,” kata Tony.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA