Isnin, 31 Julai 2017

ZAHID HAMIDI, TIMBALAN PERDANA MENTERI PALING LEKEH DAN MERAPU

Pada 28 Julai lalu, bermakna genaplah tempoh dua tahun Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak dilantik pada tarikh yang sama pada 2015 yang lalu.

Beliau dilantik memegang jawatan itu menggantikan Munyiddin Yassin yang dipecat kerana mengkritik Najib Razak dan bertanya banyak soalan tentang 1MDB.

Tidak seperti semua yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, sama ada mereka berjaya menjadi Perdana Menteri atau pengejaran jawatan terkandas di tengah jalan, Zahid Hamidi adalah penyandang paling lekeh dan merapu sekali.

Tidak usah dibandingkan dengan Tun Dr. Ismail, Tun Musa Hitam atau Anwar Ibrahim yang memang diketahui watak, penampilan dan kewibawaannya tidak perlu dipertikaikan lagi, malah berbanding dengan Tun Ghafar Baba dan Tun Abdullah Badawi pun, Zahid Hamidi masih ketinggalan dan berada jauh di belakang.

Zahid, dengan jawatan nombor dua dalam parti dan kerajaan, ternampak tidak dapat membawa dirinya dengan jawatan tersebut. Ucapan dan percakapannya banyak merapu, tidak kena dengan kedudukannya dan ia lantas menjadikan beliau paling lekeh berbanding semua pendahulunya.

Beliau suka berucap dengan memberi amaran, mengangkat jari telunjuk, intonasi yang sedikit mengada-ngada serta banyak fakta yang diluahkannya tidak membina. Amarannya yang banyak diucapkannya pula selalu tinggal amaran saja.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, baik berucap di acara UMNO atau kerajaan, Zahid seharusnya bercakap bersandarkan fakta atau kajian serta berbentuk seruan yang membina mengenai sesuatu perkara yang dibangkitkannya.

Bersama beberapa siri ucapan dan penampilannya yang meragukan sebelum ini, sepertinya tak ubah beliau masih Ketua Pemuda UMNO, menteri biasa atau sekadar Setiausaha Politik saja. 

Serangannya kepada Tun Mahathir Mohamad dengan memperlekeh darah keturunan bekas Perdana Menteri itu adalah gambaran paling lekeh dan memualkan tentang watak dan pemikirannya.

Dengan kedudukannya sekarang, Zahid tidak wajar memperlekeh mana-mana kaum dan keturunan lain, biarkan untuk tujuan serangan politik kepada Tun Mahathir yang sedang bermusuh dengan Najib.

Beliau seharusnya memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan sesama kaum, bukan cuba merenggangkannya dengan komen yang berbentuk hinaan kepada sesuatu kaum.

Tun Mahathir, dalam serangannya kepada UMNO dan Najib, hanya selalu membangkitkan mengenai skandal 1MDB, kecurian wang, negara bakal bankrap dan sebagainya.

Semua serangan itu seharusnya dijawab dengan fakta atau lenggok kata-kata politik yang munasabah, sesuai dengan kedudukan dan jawatannya, bukan dengan mengaitkan susur galur atau darah keturunan yang berbentuk hinaan.

Ia tentunya tidak menghairankan jika menteri di pinggiran yang mengejar perhatian, Ketua Pemuda UMNO atau mana-mana pemimpin yang sedang melobi untuk kenaikan pangkat dan menjadi calon yang melakukan serangan demikian. 

Tetapi jika orang yang bergelar YAB berbuat demikian, budak-budak Tadika pun akan merasakan ia suatu kejanggalan dan tidak wajar dilakukan.

Apakah dengan mengungkit mengenai darah keturunan India Tun Mahathir, ia merupakan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu?

Apakah manusia yang berdarah keturunan India begitu hina dan tidak boleh dipercayai?

Apakah Zahid Hamidi tiada perasaan kepada kaum dan bangsa lain di negara ini, lalu dengan sesuka hati menghina dan memperlekeh mereka serta tidak malu-malu menunjukkan jiwa perkaumannya?

Jika Tun Mahathir yang berdarah India daripada sebelah bapanya dinilai begitu hina dan tidak boleh dipercayai untuk memperjuangkan nasib Melayu, apakah maksud tersiratnya Zahid juga memperlekeh dan menghina Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang ada keturunan darah Siam dan Tun Hussein Onn yang diketahui umum berdarah Turki?

Ataukah Zahid Hamidi sebenarnya cuba memberi gambaran bahawa pesaingnya, Hishammuddin yang berdarah Turki, sebenarnya sama tidak layak dan tidak boleh dipercayai untuk menjadi Perdana Menteri di masa akan datang, seperti juga Tun Mahathir berdarah India yang diperlekeh dan dihinanya itu?

Adakah Zahid Hamidi sebenarnya mengharapkan, beliau yang berdarah Jawa daripada Jogjakarta akan terus berada di hati Najib Razak yang berdarah Bugis dan Perdana Menteri mesti mengenepikan Hishammuddin, meskipun mereka mempunyai hubungan sepupu?

Dalam hal ini, jika pun Zahid Hamidi  bertujuan melobi dan mengampu Najib agar beliau tidak terus dipinggirkan, tetapi sama seperti tidak kena caranya beliau dalam banyak perkara sebelum ini, Zahid Hamidi juga sebenarnya tersilap gaya dalam mengampu dan membodek Najib.

Beliau kini dengan sendirinya semakin mencipta banyak musuh dalam UMNO, selain menjadi liabiti kepada Najib sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA