Ahad, 23 Julai 2017

ZAHID HAMIDI 'MENGHASUT' DI SABAH?

Dalam usaha memastikan UMNO dan BN kekal berkuasa lagi di Sabah, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumpamakan tindakan atau percubaan memisahkan rakyat negeri itu daripada pemerintahan yang ada sekarang seperti langkah Brexit yang telah berlaku di Britain, baru-baru ini.

Kata beliau, tindakan pihak luar termasuk bekas pemimpin UMNO di peringkat nasional dan negeri cuba "membrexitkan"  rakyat Sabah daripada UMNO dan BN adalah suatu langkah yang silap dan bakal merugikan rakyat serta negeri itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan percubaan tersebut.

Wajarkah perbandingan Zahid Hamidi itu?

Pertama, tindakan Zahid Hamidi mengumpamakan Brexit dengan pilihan atau selera rakyat dalam pilihanraya adalah suatu perbandingan yang sama-sekali salah dan tidak betul.

Brexit adalah langkah Britain mengadakan pungutan suara untuk rakyat membuat pilihan sama ada mahu kekal atau keluar daripada Kesatuan Eropah. Kedudukan Britan dalam Kesatuan Eropah terikat dengan perjanjian sebagai sebuah negara dan sebab itu apabila ada rakyatnya merasakan lebih baik keluar, suatu pungutan suara telah diadakan.

Dalam pungutan suara itu, kira-kira 60 peratus rakyatnya memilih untuk Britain keluar daripada Kesatuan Eropah. Maka, kini  Britain tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kesatuan Eropah.

Soal baik atau tidak keputusan itu bagi rakyat dan negara Britain, ia adalah pilihan mereka. Mungkin hanya kita yang merasakan tindakan Britain itu tidak baik, tetapi tidak bagi rakyatnya.

Di Sabah, dalam pilihanraya akan datang, rakyat negeri itu tidak minta keluar daripada Malaysia. Mereka hanya mahu menukar parti pemerintah daripada UMNO dan BN kepada parti lain yang mereka rasakan dapat memberi pembelaan dan perkhidmatan lebih baik.

Menukar parti pemerintah adalah sesuatu yang dibolehkan dalam sistem demokrasi, malah tidak ada perjanjian yang mengatakan UMNO dan BN mesti jadi parti pemerintah di Sabah sampai kiamat.

Pilihanraya diadakan setiap lima tahun ialah untuk memberi pilihan kepada rakyat menukar kerajaan.

Sebelum UMNO dan BN memerintah Sabah, negeri itu bahkan sudah beberapa berukar parti. USNO, Berjaya dan PBS adalah parti yang pernah memerintah Sabah sebelum kedatangan UMNO dan BN.

Jika bertukar parti sudah menjadi perkara biasa Sabah dan perkara itu tidak terikat dengan perjanjian apa-apa serta tidak membawa keluarnya negeri itu daripada Malaysia, kenapa Zahid cuba menyamakannya dengan Brexit di Britain?

Adakah Zahid cuba menakut-nakutkan pengundi Sabah dengan suatu perbandingan yang hakikatnya jauh melencong?

Tidakkah perbuatan menakut-nakutkan itu suatu bentuk hasutan?

Atau ia merupakan petanda sahih bahawa UMNO dan BN sudah begitu terdesak untuk mengekalkan kuasanya di Sabah sehingga terpaksa menggunakan sentimen menakut-nakutkan seperti itu?

2 ulasan:

  1. Kami dah jemu dgn Bn. Semua masuk tengolok org2 dia. Jadi bg kami peluang ini...dan kami bagi segala2nya utk rakyat

    BalasPadam
  2. Itulah tanda2 yg penyamun2 umno/bn dah mula merapu disbbkan ketakutan yg amat sangat akan kehilangan kuasa mereka pd PRU 14 nnt...r

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA