Selasa, 18 Julai 2017

Warisan: Kenapa perlu cukai pelancongan, jika GST penyelamat ekonomi

Parti Warisan Sabah menggesa menteri pelancongan dan kebudayaan bertindak terhadap dakwaan berhubung Lembaga Pelancongan Malaysia mengalami defisit RM250 juta.
Junz-Wong-nazri-aziz-tourism-hotel-checkin-1
Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, kenyataan terbaru Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung cukai pelancongan menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
Semalam, Nazri berkata, cukai pelancongan itu bertujuan menampung defisit dalam belanjawan kementerian untuk promosi kerana pengurangan perbelanjaan promosi secara mendadak daripada RM200 juta kepada RM110 juta tahun ini.
Nazri berkata, penyusutan nilai ringgit turut menjadikan usaha mempromosi Malaysia lebih mahal di luar negara.
“Dua tahun lalu, apabila ringgit jatuh ke tahap terendah dalam tempoh 17 tahun, Nazri berkata penyusutan nilai ringgit baik untuk sektor pelancongan.
“Sekarang, beliau menyalahkan penyusutan nilai ringgit untuk kos lebih tinggi mempromosi pelancongan di luar negara,” kata Naib Presiden Warisan, Junz Wong kepada FMT.
Beliau merujuk kenyataan kontroversi Nazri pada 2015 yang penyusutan nilai ringgit memanfaatkan sektor pelancongan kerana ia menjadikan Malaysia lebih mampu dikunjungi oleh warga asing.
“Jika penyusutan nilai ringgit bermakna kerajaan perlu membayar lebih untuk mempromosi pelancongan di luar negara, mungkin Nazri perlu tunjukkan contoh dengan mengurangkan lawatan ke luar negara kerana ini turut menjadikan ia lebih mahal dengan penyusutan nilai ringgit,” kata Wong.
Beliau juga hairan kenapa kementerian itu perlu memperkenalkan cukai pelancongan untuk menampung pengurangan bajet pengiklanan, sedangkan Putrajaya pernah memuji cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai “penyelamat” ekonomi kerana berjaya meraih RM59.72 bilion setakat November lalu.
“Nazri kata belanjawan kementerian itu dikurangkan daripada RM200 juta kepada RM110 juta. Itu defisit sebanyak RM90 juta.
“RM90 juta jumlah kecil jika dibandingkan berbilion ringgit yang dikutip menerusi GST. Tidak bolehkah Nazri meminta lebih banyak dana dan bukannya mengenakan cukai baharu? Bagaimanakah berbilion ringgit yang dikumpul dalam GST digunakan?”
Wong berharap Nazri tidak membayangkan kerajaan tidak mempunyai wang kerana itu amat membimbangkan.
Adun Likas itu berkata, Nazri perlu menjelaskan mengapa kerajaan perlu memperkenalkan cukai membebankan hanya untuk menampung RM90 juta.
“Nazri kata cukai pelancongan mampu membrei kutipan RM654.62 juta jika kadar penginapan semalaman mencapai 60% untuk keseluruhan 11 juta bilik hotel di negara ini.
“Jika pemotongan bajet pengiklanan kementerian itu hanya RM90 juta, mengapa ia memerlukan lebih RM500 juta? Bagaimanakah pendapatan tambahan ini dibelanjakan?”

Merujuk komen Nazri terdahulu berhubung kutipan cukai pelancongan diagihkan sama rata antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Wong mempersoalkan jika ia bermakna kementerian pelancongan Sabah dan Sarawak boleh memutuskan cara negeri mereka dipromosikan.
“Memandangkan Sabah dan Sarawak mempunyai kementerian pelancongan masing-masing, mereka harus diberikan bahagian mereka dalam cukai pelancongan kerana mereka lebih tahu cara mempromosikan negeri mereka.”
Wong berkata, Nazri juga perlu menjawab laporan China Press baru-baru ini yang mendakwa kementerian itu mempercepatkan pelaksanaan cukai pelancongan dalam usaha menangani defisit RM250 juta yang ditanggung Lembaga Pelancongan Malaysia.
Akhbar Cina itu memetik sumber sebagai berkata, Lembaga Pelancongan Malaysia gagal dalam perancangan dan pengurusan kewangan, khasnya kos mempromosikan pelancongan Malaysia di luar negara, seperti China dan Jepun.
Menurut laporan itu, masalah kewangan lembaga itu berterusan sejak 2 tahun lalu.
Perbelanjaan lembaga itu diibaratkan “pili air tidak ditutup” dan Kerajaan persekutuan enggan menanggung defisit RM250 juta.
“Ini dakwaan sangat serius dan mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasatnya. Sebaliknya, Nazri boleh mendedahkan akaun Lembaga Pelancongan Malaysia,” kata Wong.
Contoh buruk
Sementara itu, Wong Chen daripada PKR berkata, defisit belanjawan yang dihadapi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan adalah gejala penyusutan pendapatan kerajaan disebabkan harga minyak rendah, kelembapan ekonomi dan dividen rendah daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Masalah itu semakin teruk dengan keutamaan perbelanjaan yang lemah, rasuah, projek mega dan tadbir urus tidak baik.”
Beliau berkata, walaupun beliau memahami Nazri cuba “meningkatkan” belanjawan kementeriannya melalui cukai pelancongan, beliau mungkin menjadi ia sebagai contoh buruk bagi kementerian lain.
“Bagaimana jika lebih banyak kementerian memutuskan mengikut jejaknya dan meningkatkan pendapatan mereka dengan mengenakan cukai baharu? Ini akan menjadikan aliran hasil kerajaan persekutuan tidak teratur yang seterusnya menimbulkan pelbagai akibat dasar tidak diingini.”
Beliau berkata, cukai pelancongan akan menjejaskan pelancongan domestik serta membebankan industri perhotelan secara keseluruhan.
Ahli Parlimen Kelana Jaya itu berkata, jika kerajaan tidak dapat menambah pendapatan, ia perlu membasmi rasuah dan mengurangkan “perbelanjaan protokol remeh”.
“Mengenakan cukai kepada rakyat hanya akan memburukkan keadaan.”
Bulan lalu, Nazri mengumumkan cukai pelancongan yang dijadual dikuatkuasakan mulai 1 Julai lalu ditangguhkan sehingga 1 Ogos kerana sistem itu belum siap sepenuhnya.
Katanya, semua pelancong asing akan dikenakan cukai pelancongan, tetapi warganegara Malaysia yang tinggal di hotel 3 bintang dan ke bawah dikecualikan cukai baharu itu.
Beliau berkata, cukai pelancongan terbahagi kepada 4 kategori iaitu RM20 untuk penginapan semalam di hotel 5 bintang, RM10 hotel 4 bintang, RM5 hotel 3 bintang serta RM2.50 bagi hotel 2 bintang dan ke bawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA