Jumaat, 28 Julai 2017

Warga Felda masih sokong BN?

PELBAGAI isu kontroversi yang melanda Felda sejak kebelakangan ini benar-benar memalukan kerajaan dan Felda sendiri.
Malahan harga minyak kelapa sawit yang terus jatuh sejak 2014 telah mendorong peneroka tidak tidur lena.
Ramai menyalahkan kerajaan kerana tidak mengekang harga komoditi ini daripada terus menjunam sehingga pendapatan mereka makin berkurangan.
Ketika keluhan peneroka belum selesai, timbul pula kecelaruan membabitkan pengurusan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), lebih-lebih lagi terbongkarnya kes penyelewengan di peringkat tertinggi.
Saham FGV jatuh teruk. Daripada nilai pasaran RM10.5 bilion pada tahun 2012 telah menjunam tinggal hanya RM5.6 bilion pada 31 Disember tahun lalu.
Terbaru, isu penyelewengan sekali lagi tercetus dalam dunia Felda. Kali ini membabitkan Felda Investment Corporation (FIC) pula. 
Berdasarkan maklumat siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), FIC dipercayai membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London antara tahun 2013 dan 2015 dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
Apabila berlakunya isu penyelewengan dan rasuah dalam Felda dan ditambahkan pula masalah peneroka yang sedia ada, apakah BN masih lagi boleh mendabik dada bahawa Felda tetap kubu kuat mereka?
Bagaikan ingin menutup kesilapan sendiri dan menggembirakan warga Felda, enam insentif baharu yang bernilai hampir RM1.6 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menunjukkan detik semakin hampir tiba untuk membubarkan parlimen.
Tidak dinafikan kawasan penempatan Felda menjadi kubu kuat BN. Pemimpin-pemimpin pembangkang yang cuba meraih sokongan daripada pengundi Felda ternyata gagal membuahkan hasil.
Ketika PRU 14 semakin hari semakin dekat, pemberian enam insentif ini mampu mengukuhkan lagi kekuatan BN di kawasan-kawasan Felda. Enam insentif yang menarik ini turut mampu menangkis pembangkang yang dikatakan mulai aktif bergerak di kawasan kampung-kampung Felda sejak kebelakangan ini.
Daripada 222 kerusi parlimen di seluruh negara, 54 adalah penempatan Felda. Pada PRU lalu, BN memenangi 48 kerusi manakala pembangkang enam.
Maka tidak hairanlah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada awal Mac lalu meminta warga Felda terus memberi sokongan kepada BN dengan merampas semula enam kerusi parlimen milik pembangkang itu.
Bagi pembangkang, peluang untuk calon mereka menang di kawasan bandar tidaklah sukar.
Sebaliknya, usaha untuk memenangi hati pengundi di kawasan luar bandar, terutama sekali di kawasan Felda, kalau cuba hendak dapat undi dengan berceramah siang dan malam, itu bukan caranya.
Untuk menawan Putrajaya, Pakatan Harapan mesti memikirkan bagaimana memperoleh sekurang-kurangnya tambahan 30 peratus pengundi Felda, BN barulah mampu ditumbangkan. Angka ini nampak sukar dicapai, tetapi sebarang kemungkinan tetap boleh berlaku.
Pakatan Harapan, lebih-lebih lagi Bersatu di bawah pimpinan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bantuan PKR dan Amanah cuba melakukan misi getir lagi mustahil ini.
Pemimpin-pemimpin Bersatu dilaporkan memasuki ke kawasan-kawasan Felda yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin pembangkang sebelum ini.
Ia dikatakan sebagai cubaan berani mendapatkan sokongan daripada pengundi Felda, terutama sekali generasi baharu di situ.

Apakah langkah dan strategi bakal dilakukan Pakatan Harapan di kawasan Felda? Apakah lebih 100,000 warga Felda di seluruh negara akan beralih kepada pakatan pembangkang?
Dengan pemberian enam insentif  RM1.6 bilion ini, peneroka Felda sudah pasti gembira dengan ‘gula-gula’ ini. Namun sama ada undi BN atau tidak, itu tetap rahsia.
Namun faktor yang mampu mendorong warga Felda sokong Pakatan Harapan barangkali bukanlah kerana Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun Mohamad Sabu, tetapi berpunca daripada masalah dalaman Felda sendiri.
Pada PRU 14 kali ini, Pakatan Harapan sekiranya menang lebih banyak kerusi berbanding PRU lalu, ia adalah tanda undi protes terhadap BN dan Felda. BN dan Felda harus menyalahkan diri sendiri.
 Kini terletak kebijaksanaan warga Felda bagaimana hendak menentukan masa depan mereka sendiri. Apakah mereka ingin terus menyokong BN kerana sentiasa diberikan pelbagai insentif, bonus dan skim? Ataupun ingin cuba beri peluang kepada Pakatan Harapan yang hanya mampu berjanji dengan macam-macam keistimewaan melalui manifestonya?
Warga Felda sama seperti kebanyakan pengundi di seluruh negara. Setelah sering kali menerima imbuhan, mereka begitu mudah melupakan segala kesilapan, perbuatan salah laku, penyelewengan dan rasuah membabitkan pemimpin-pemimpin kerajaan.
Sekiranya Felda dan anak-anak syarikatnya diurus dengan cekap dan telus dari dulu lagi, sudah tentu tiada krisis seperti hari ini. Malahan, Felda mampu menjadi sebuah syarikat korporat yang jauh lebih berjaya dan memperoleh keuntungan berlipat ganda.
Hari ini, peneroka Felda perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah nasib mereka telah terbela? Mereka seharusnya sedar kehidupan mereka patut lebih mewah dan kaya pada hari ini sekiranya Felda diurus dengan ahli-ahli korporat yang profesional.
Selagi ahli-ahli lembaga masih berminat rebut kerusi, gaji serta elaun, nescaya masa depan peneroka dan anak cucu mereka tidak menjanjikan sebarang harapan dan impian!

2 ulasan:

  1. Mesti la najib guna duit rakyat utk lupus hutang beli saham fgv. Kita rakyat jgn HALALkan. Biar peneroka makan duit HARAM. Peneroka kena bertanggungjawab sama krn ikut sgt cakap najib dan tak mau dengar nasihat org lain

    BalasPadam
  2. Cukup cukup lah wahai warga felda, jangan kena patuk kalu kedua dah ler.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA