Sabtu, 29 Julai 2017

Wan Azizah cadang kerajaan beku perniagaan, aset Korea Utara



Pelancaran terbaru peluru berpandu Korea Utara tengah malam tadi, disifatkan tindakan provokasi yang tidak mengurangkan ketegangan hubungan di Semenanjung Korea dan rantau ini.
Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keengganan rejim Korea Utara mendengar gesaan masyarakat antarabangsa untuk meredakan keadaan juga menjadi petanda bahawa langkah-langkah sedia ada, termasuk sekatan perdagangan, tidak memadai.
“Oleh itu, saya mengecam provokasi Korea Utara ini dan menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengumumkan langkah-langkah diplomatik bersesuaian terhadap rejim tersebut, pada masa sama mengambil maklum pendirian Malaysia yang bersifat ‘berkecuali yang aktifi’ (active neutrality),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, antara langkah-langkah boleh dipertimbangkan Putrajaya termasuk membeku perniagaan dan aset-aset kewangan milik Korea Utara di Malaysia.
Katanya, tindakan itu untuk memastikan negara ini tidak membantu dalam penyaluran dana ke dalam program ketenteraan rejim tersebut.
Katanya, Malaysia juga perlu menggunakan kesemua saluran diplomatik yang ada untuk menyatakan keprihatinan negara bahawa sebarang usaha di peringkat antarabangsa untuk meredakan atau menyelesaikan isu ini mestilah tidak bersandar kepada tindakan ketenteraan yang mungkin menambahkan ketidaktentuan serantau, termasuk di rantau Asia Tenggara.
Mei lalu, Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat yang mendarat di luar pantai timur negara itu, dalam siri ujian peluru berpandu terbaharu menentang tekanan dan ancaman sekatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA