Khamis, 6 Julai 2017

Wajib lulus BM: Pendirian kabinet keputusan politik

Isu kelonggaran syarat kelulusan Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pegawai perubatan lantikan kontrak di Kementerian Kesihatan berpunca daripada kegagalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan memahami perlembagaan, kata seorang profesor hari ini.
Presiden Kolej Universiti Cyberjaya, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak, berkata bahasa Melayu jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebaga bahasa kebangsaan.
"Polemik yang terbit baru-baru ini tidak seharusnya terjadi, sebab sudah jelas letak duduknya bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Tetapi masalah ini timbul apabila ada pegawai-pegawai tertinggi, pengarah, ketua setiausaha dan menteri-menteri tidak memahami Perlembagaan Malaysia," kata Mohamad.
Mohamad (gambar) berkata demikian semasa menjadi panel Bicara Persada ke-37 bertajuk Pengurusan Bahasa Melayu Dalam Sektor Awam: Boleh Dikompromi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.
Bicara Persada itu dianjurkan Jabatan Canselori UKM dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA).
Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau juga hairan mengapa pemimpin-pemimpin kerajaan begitu melayan kehendak minoriti yang didakwanya mahu bahasa Melayu diketepikan.
"Saya tidak faham kenapa pemimpin politik layan kumpulan kecil ini. Mungkin mereka ada sesuatu, seperti mahu dapatkan pengaruh.
"Mungkin pegawai tertinggi dalam kerajaan, pengarah, ketua setiausaha dan menteri tidak memahami perlembagaan," kata Mohamad.
Idea bangsa belum selesai
Pada 2 Julai lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan kelonggaran syarat lulus subjek Bahasa Melayu untuk pekerja perubatan lantikan kontrak, iaitu pelatih perubatan.
Ia bagi membolehkan graduan perubatan yang tidak lulus atau menduduki subjek BM di peringkat SPM berkhidmat dan membolehkan mereka memperoleh sijil penuh pegawai perubatan.
Sejak 1 Oktober tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melantik pelatih gred UD-41 secara kontrak, tetapi calon masih perlu lulus subjek BM peringkat SPM.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, daripada 4,500 siswazah dilantik sejak Disember 2016, hanya 23 sahaja menerima kesan daripada kelonggaran itu yang kebanyakannya adalah anak-anak diplomat.
“Dan 11 daripada mereka ialah anak orang Melayu sebab bapa mereka kerja di luar negara, tetapi itu tidak bererti mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu,” kata Subramaniam.
Mohamad bagaimanapun berkata, jumlah kecil pegawai perubatan itu tidak menjejaskan keseluruhan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Pengasas Institut Kajian Etnik UKM, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, pula percaya pendirian kabinet semalam merupakan keputusan politik.
"Perpecahan yang ada dalam parti politik negara kita ini adalah perpecahan mencari takrif bangsa.
"Saya lihat parti politik adalah bayangan kepada idea bangsa idaman yang belum selesai.
"Rupanya bangsa idaman ini ditentukan melalui pilihan raya. Tidak ada perkara yang tidak menyentuh keputusan politik. Saya rasa keputusan kabinet itu adalah keputusan politik.
"Dia (kabinet) sudah terasa panas dengan keadaan, jadi kena buat keputusan, jadi saya lihat melatah politik ini perkara biasa," katanya.
Bagaimanapun, Pengarah ATMA, Prof Dr Supyan Hussin, berbeza pandangan apabila menyatakan masalah bahasa bukan berpunca daripada ketidakfahaman Perlembagaan Persekutuan.
"Isu ini jadi berulang-ulang bukan sebab tidak memahami Perlembagaan. Perlembagaan ini ibarat sebatang pokok, dan Perkara 152 (yang meletakkan kedudukan bahasa Melayu) itu adalah dahan pokok," katanya.

1 ulasan:

  1. Biasalah nk pilihanraya ni....sipengkhianat bahasa melayu....puak umno/bn dah bertukar kulit...menjadi pejuang bahasa melayu pulok....sedangkan merekalah yg menjadi bahasa melayu terpinggir dan di anaktirikan...semangat assobiyah mereka meningkat supaya mereka dpt berpura2 dan menipu rakyat.....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA