Ahad, 2 Julai 2017

Usah terus berpura-pura dengan rakyat


Oleh Mahfuz Omar
PERDANA Menteri Najib Razak gembira dan "ghenyeh" (sengeh) sampai ke telinga memuji Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2017 Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mengeluarkan Malaysia daripada senarai pengawasan tahap 2 bagi usaha menangani pemerdagangan manusia.
Laporan tahunan itu menyenaraikan lebih 100 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menangani pemerdagangan manusia dengan penilaian empat peringkat meliputi tahap 1, 2, Senarai Pengawasan tahap 2 dan tahap 3.  Persoalannya, mengapa Najib boleh pula menerima laporan itu tanpa adanya pula pihak yang menjadi "pembodek tegar" menuding jari mengatakan ia sebagai campur tangan asing ke atas Malaysia berbanding isu saman Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dalam skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila ramai muncul dengan kenyataan mengelirukan rakyat.
Saya bersetuju yang Laporan Jabatan Negara AS bukannya campur tangan asing ke atas Malaysia tetapi jika mengikut logik mereka yang membangkitkan isu campur tangan dalam saman DoJ terhadap "rompakan mega" wang 1MDB sudah tentu menganggap laporan kali ini juga sama.
Pujian dan keseronokan Najib itu seolah-olah seperti Malaysia amat bergantung harap kepada laporan dari AS untuk menentukan kedudukan Malaysia dalam isu pemerdagangan manusia ini.
Oleh itu, dendangan "isu campur tangan asing" mengenai laporan DoJ berkaitan kehilangan dan "rompakan mega" wang 1MDB mesti dihentikan oleh semua pihak dengan segera.
Laporan dokumen DOJ memperakui daripada penilaian dan dapatan penyiasatan mereka ada "penyangak" dari Malaysia melakukan kesalahan penggubahan wang haram yang puncanya berasal daripada wang 1MDB di AS dan wang tersebut dikitar dan dipulangkan sebahagiannya kepada manusia yang dinamakan "Malaysia Official 1" (MO1) dan isterinya.

Jelas terbukti Najib boleh menerima laporan Jabatan Negara AS yang membuat penilaian dan penyiasatan mengenai usaha serta kejayaan membenteras pemerdagangan manusia tanpa mengaitkannya dengan isu "campur tangan asing" maka sewajarnya beliau dan semua pihak perlu berlapang dada menerima laporan DoJ untuk kita bersama membenteras penjenayah, penyangak, penyamun, perompak yang menyeleweng wang 1MDB yang merupakan syarikat milik rakyat Malaysia.
Najib tidak perlu bermuka-muka dengan rakyat apabila hanya menerima Laporan Jabatan Negara AS yang memuji tetapi Najib bersama "pemakan dedak" menolak laporan DoJ yang juga datangnya dari AS apabila ia menyebut dan mengaitkan MO1 dan isteri dengan kecurian wang 1MDB.
"Kepura-puraan itu bagaikan bunga mawar plastik dengan kelopak dan warna sempurna tetapi tak bau wangi".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA