Isnin, 17 Julai 2017

Umno resah gelisah lihat Mahathir terajui HARAPAN

ADUN Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata pemimpin Umno semakin tidak dapat menyorokkan keresahan mereka terhadap struktur organisasi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mengangkat mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi gabungan itu.
Mengulas kenyataan Pemuda Umno yang mendakwa barisan kepimpinan HARAPAN sebagai ‘tidak jelas’ dan hanya menguntungkan DAP, beliau berkata , Khairy Jamaludin sekadar menggulangi taktik basi dengan cuba menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan pengundi Melayu.
“Ia kononnya cuba untuk membandingkan bahawa Umno adalah dominan BN dan mempunyai lebih 80 kerusi parlimen dan menjadi tulang belakang BN.
“Tapi pada hakikatnya Khairy jangan buat-buat tidak nampak siapa yang telah meranap dan menyalahgunakan institusi Melayu seperti MARA, Tabung Haji, Felda dan sebagainya, DAP kah?” katanya yang dipetik oleh Roketkini.
Tengku Zulpuri yang juga adalah ADUN Mentakab berkata, sejak penubuhannya, Pakatan Rakyat yang kemudiannya HARAPAN telah mengulangi komitmen untuk menjaga institusi yang melibatkan kepentingan Melayu.
“Bukan sekadar nak jaga tetapi memperkasakan institusi-institusi itu dengan urustadbir telus dan berintegriti,” katanya lagi yang dipetik oleh organ rasmi DAP itu.
Dalam pengumuman 13 Julai lalu, HARAPAN sebulat suara melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum gabungan pembangkang itu manakala, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.
Bagi timbalan presiden, HARAPAN telah membariskan tiga pemimpin iaitu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.
Jawatan naib presiden HARAPAN pula disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub manakala jawatan ketua setiausaha disandang disandang Datuk Saifuddin Abdullah dan bendahari diisi M Kula Segaran.
Pengumuman kepimpinan HARAPAN itu diikuti komitmen 100 hari pertama pentadbiran setelah mendapat mandat membentuk kerajaan.
Antaralain ialah memberi tumpuan meringankan beban rakyat, menghapuskan cukai GST, memerangi rasuah, memulihkan FELDA dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA