Rabu, 5 Julai 2017

UMNO Johor jauhkan diri dari Najib, analisa Chin Tong tepat

JOHOR BAHRU, 4 JUL: Lagak setiausaha akhbar Perdana Menteri, Tengku Sharifudin yang beriya-iya menasihatkan DAP supaya menjaga ‘masalah serius’ kononnya melanda parti itu sebaliknya  hanya menggambarkan UMNO sedang berada di kedudukan paling sukar.
Sebaliknya, Sharifudin sebaiknya wajar memikirkan kedudukan ‘bosnya’ itu apabila semakin ramai pemimpin UMNO menjarakkan diri dari Najib.
Menceritakan situasi yang berlaku, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata fenomena pemimpin UMNO menjarakkan diri dari Najib sangat ketara.

“Jika anda jelajah ke segenap negeri Johor, anda boleh kira dengan tangan berapa kerat sahaja jumlah papan pemidang yang dinaikkan dengan memuatkan wajah Najib. Tidak lagi seperti sebelum-sebelum ini.
“Bahkan dalam sidang DUN negeri mutakhir ini pun, Adun- Adun UMNO dan BN tidak lagi mengangkat nama Perdana Menteri untuk mengambil kredit atas pencapaian kerajaan pimpinan Najib di peringkat pusat,” kata beliau.
Menurutnya, Najib kini telah menjadi liabiliti kepada partinya sendiri akibat pelbagai kemelut ekonomi setelah satu demi satu skandal didedahkan.
“Skandal mega seperti 1MDB dan FGV benar-benar telah meletakkan Najib pada kedudukan paling sukar samada di peringkat dalaman parti UMNO, BN apatah lagi halatuju berkerajaan Malaysia,” katanya lagi.
Kenyataan ini dibuat membidas kenyataan Sharifuddin yang baru-baru ini mengulas analisis politik Pengarah Pendidikan DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong terhadap survival politik Najib.
Analisis Chin Tong itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Salleh Said Keruak yang kemudian membela Najib dengan menuduh Ahli Parlimen Kluang itu sebagai berkhayal.
Analisa tersebut turut menggambarkan kedudukan Najib semakin lemah apabila kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin tidak menyebelahi pihaknya ketika skandal 1MDB meletus.
“Sharifuddin dan Salleh perlu sedar bahawa UMNO Bahagian Pasir Gudang yang diketuai oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin sendiri merupakan antara UMNO bahagian terawal menyediakan platform temu rapat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas skandal 1MDB mula heboh dan gerakan Deklarasi Rakyat dimulakan.

“Hal ini menimbulkan kerisauan Najib. Kerana itulah pelan menyingkirkan Khaled Nordin dari terus mentadbir UMNO serta Kerajaan negeri di Johor bukanlah suatu yang tidak masuk akal atau ‘khayalan’.
“Bahkan, apa yang berlaku ke atas bekas exco kanan Kerajaan Johor Datuk Abdul Latif Bandi yang mungkin ada kaitannya dengan agenda Najib sepertimana analisis Chin Tong, juga mempunyai asas,” katanya lagi.
Sekiranya Sharifuddin mahupun Salleh masih mahu mendabik dada kononnya kedudukan Najib masih kukuh, mereka dicabar supaya meminta nama-nama yang disebutkan Chin Tong dalam analisisnya supaya membuat kenyataan terbuka menyokong Najib dalam pelbagai isu yang beliau sedang hadapi sekarang ini.
“Saya jamin, Najib tidak akan mendapat sokongan,” kata Sheikh Omar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA