Khamis, 20 Julai 2017

Umno hilang sokongan Felda hanya propaganda Muhyiddin, sembang Shahrir

Pengerusi Felda menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang Umno tidak lagi kuat di Felda hanyalah propaganda untuk memberi semangat kepada ahli partinya.
Shahrir-Samad_talk
KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno Tan Sri Shahrir Samad tidak gentar dengan kemaraan Pakatan Harapan di kawasan Felda, dan menyifatkan cakap-cakap pembangkang semakin mendapat sokongan di sana hanya propaganda.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu berkata propaganda seperti itu perkara biasa apatah lagi menjelang pilihan raya umum yang semakin dekat.
Beliau menjawab kenyataan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mendakwa kawasan Felda bukan lagi kubu kuat Umno.
“Beliau (Muhyiddin) berhak menyatakan pandangan, tetapi tentulah dengan PRU yang semakin dekat, (dakwaan seumpana ini) bukanlah perkara baru.
“Beliau mesti ada semangat untuk galakkan pengikut percaya kepadanya. Itu biasa. Masing-masing propangada-lah,” kata Shahrir ketika ditemui pemberita selepas majlis hari raya dan sambutan ulang tahun ke-12 Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) hari ini.
Dakwaan Muhyiddin seiring dengan pandangan pemerhati politik yang merasakan PPBM, yang ditubuhkan oleh pimpinan veteran Umno dan dianggotai bekas-bekas ahli Umno, akan membuka laluan kepada pembangkang memasuki Felda dan kubu kuat Umno lain.
Pakatan Harapan kini dilihat rancak mengadakan program di Felda, mempertaruhkan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meraih sokongan pengundi Melayu di sana.
Shahrir bagaimanapun kelihatan tidak terkesan dengan kemasukan pembangkang kerana meyakini sokongan warga Felda kepada partinya.
“Mereka dialu-alukan, ini adalah negara bebas. Kami juga membuat kerja dan sudah lama bertapak di sana,” katanya, dan menambah Umno akan memastikan sokongan peneroka kepada mereka kekal seperti dulu.

Namun beliau membidas pembangkang yang menurutnya menyebarkan dakwaan sewenang-wenang untuk meraih sokongan di Felda. Shahrir mengambil contoh kenyataan Dr Mahathir di suatu program di Kota Tinggi minggu lalu, yang mendakwa ramai peneroka menanggung hutang lebih RM100,000 seorang.
“Itu tidak benar, sudah dijawab di Parlimen (jumlah hutang keseluruhan peneroka) RM5.1 bilion.
“Jika pemimpin utama bercakap pun tak betul, bagaimana anda nak meraih sokongan di Felda…Bagaimana anda kata berjuang untuk peneroka dan boleh (berkhidmat) dengan lebih baik tetapi tidak tahu situasinya?” soalnya lagi.
Pada PRU lalu, Pakatan Rakyat hanya memenangi 6 daripada 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda, iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA