Rabu, 26 Julai 2017

'Umno bukan kerajaan yang tidak boleh ditukar'



Umno-BN hanya parti politik, bukan kerajaan yang tidak boleh ditukar, tegas Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Namun katanya, rakyat khususnya di kampung-kampung sudah didoktrin sejak sekian lama bahawa Umno-BN itu ialah kerajaan yang menjaga kepentingan Islam dan Melayu.
"Masih ada lagi mereka menganggap Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno. Kalau Umno kalah tak ada kerajaan. Sepatutnya 60 tahun merdeka rakyat sudah diajar tentang demokrasi. Yang mana kerajaan yang mana parti politik.
Konvensyen PRU Amanah Mat Sabu"Tetapi oleh kerana siasah atau politik ini tidak diajar di sekolah dan universiti, sivik dan tatacara demokrasi tidak diajar dan Umno sudah terlalu lama, sudah tertanam bahawa Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno.
"Ini kesilapan besar yang difahami terutama penduduk luar bandar. Sedangkan parti poltik boleh pergi dan datang tetapi kerajaan itu tetap ada dan kekal sampai bila-bila. Pemahaman politik ini perlu ditekankan," katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.
Mohamad berkata demikian mengulas dakwaan pemimpin Umno-BN bahawa Cina akan memerintah Malaysia dan hak dan keistimewaan Melayu akan hilang jika BN kalah dalam pilihan raya akan datang dan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH)
Beliau yang juga Timbalan Presiden PH berkata, dakwaan itu ternyata salah kerana wakil rakyat Melayu dalam PH di parlimen mengatasi wakil rakyat Melayu dalam Umno.
"Sebenarnya tidak betul sebab komposisi dalam parlimen kita akan lihat calon-calon Melayu daripada Bersatu PKR, Amanah bahkan dalam DAP itu sendiri mengatasi jumlah calon Melayu dalam BN.
"Calon Melayu tidak berkurang bahkan bertambah dalam Pakatan Harapan. Tapi persepsi ini ditanam hanya semata-mata untuk menjaga supaya Umno-BN terus dipilih dalam pilihan raya," katanya.
Sedia beri DAP guna logo Amanah

Ditanya mengenai kemungkinan pendaftaran parti DAP terbatal, Mohamad berkata, Amanah tidak ada masalah untuk membenarkan parti itu bertanding menggunakan logo Amanah dalam PRU14.
"DAP sekarang sedang berurusan dengan ROS, mereka kemungkinan besar akan membuat pemilihan semula. Andai kata DAP digantung atau diharamkan Amanah tidak ada masalah untuk DAP menggunakan simbol Amanah pada PRU14 jika DAP memilih untuk menggunakan simbol Amanah," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, PH sedang mendaftarkan logo bersama untuk digunakan dalam PRU14 dan berharap ia akan diluluskan supaya semua parti dalam gabungan itu boleh mengguanakan satu logo menentang BN.
"Tetapi Pakatan Harapan akan mendaftarkan simbol bersama maka fenomenanya berlainan daripada pilihan raya 2013 di mana kita tidak ada logo bersama.
"Sekarang dengan adanya logo bersama saya yakin mana-mana pihak yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan boleh bertanding di bawah logo bersama itu.
"Tapi kalau logo bersama pun tidak diluluskan Amanah tidak ada masalah untuk membuka ruang kepada DAP untuk menggunakan simbol Amanah tapi bagi saya sebaik-baiknya kita dapat gunakan logo bersama untuk PRU14," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA