Sabtu, 29 Julai 2017

Ucapan DSWA sempena Simposium Pemikiran Anwar Ibrahim


Ucapan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
SIMPOSIUM PEMIKIRAN ANWAR IBRAHIM
29 Julai 2017

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin Wabihi Nasta’in. Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Pemilik kerajaan segala di langit, di bumi dan yang wujud diantaranya.

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Baginda Nabi Muhammad S.A.W pembawa rahmat seluruh alam serta tauladan untuk disanjungi.
Yang dihormati YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Yang Berhormat Dato’ Mansor bin Haji Othman, Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang, Yang Berhormat Zairil Khir Johari, CEO Penang Institute. Dr. Ooi Kee Beng.
Saya alu-alukan kehadiran para ilmuwan yang juga merupakan panelis simposium hari ini Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh, Prof Dr. Shaharuddin Badaruddin , Prof Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid dan Dr. Wong Chin Huat.
Tahniah diucapkan kepada penganjur simposium hari ini Yayasan Islam Pulau Pinang, Penang Institute dan Institut Darul Ehsan. Saya juga ingin menyampaikan salam dari Saudara Anwar Ibrahim kepada semua yang hadir pada hari ini.
Saudara-saudari yang dihormati ,
Wan AzizahPerlu dijelaskan karya Charles Allers menelusuri pengalaman hidup Anwar. Penumpuannya adalah sikap Anwar mengenai bahasa dan kebudayaan Melayu, Islam sebagai keyakinan dan panduan hidup, demokrasi dan negara hukum, konsep kesejahteraan bersama dan keadilan yang merentasi kaum.
Pengarang melihatnya sebagai satu evolusi perkembangan konsisten ke arah kematangan dan kemantapan idea.
Saya ingin menyingkap pandangan berbeda dari pengarang Inggeris, Meryl Wyn Davies dalam rencananya dalam Critical Muslim. Meryl juga mengulas buku tersebut, merumuskan bahawa idea pokok – demokrasi, kebebasan, keadilan dan negara hukum terpahat sejak Anwar dalam gerakan mahasiswa dan ABIM lagi.
Saya percaya Saudara Lim Guan Eng dan seterusnya ahli panel akan mengupas selanjutnya.
Pada hemat saya, kepentingan sesebuah karya dalam genre mengenai tokoh kerana menyoroti idea pendorong – guiding ideas dalam perjuangan. Dan, dalam konteks negara kita, isu-isu pokok seperti kebebasan dan keadilan.
Kewujudan institusi: berwibawa dengan kebebasan media, badan kehakiman dan tatakelola yang mampu dipertanggungjawabkan. Itulah yang menjadi kias perjuangan keadilan dan dalam gabungan Pakatan Harapan.

Kita berjaya menggembeleng tenaga dari pengalaman yang berbeda tetapi berpaut kepada tunggak reformasi – melawan kerakusan kuasa dan rasuah.
Pakatan Harapan diasaskan landasan perjuangan yang jelas dan bukan untuk memenuhi agenda peribadi; meneruskan politik dendam kesumat atau mengembalikan dasar usang yang autotarian.
Maka kehadiran Pakatan Harapan adalah untuk mendamba perubahan tidak harus dikaitkan dengan isu terbatas.
Saya alukan kehadiran Lim Guan Eng, Ketua Menteri yang berusaha melaksanakan semangat muafakat tersebut; meskipun diakui bahawa kuasa negeri adalah terbatas.
Tohmahan yang terus dilemparkan terhadap beliau dan DAP adalah dengan menggunakan kerangka perkauman yang lapuk.
Bayangkan saja fitnah yang tersebar di merata desa bahawa tanah Melayu dirampas dan corong azan disumbat. Tanah milik Melayu di Pulau Pinang tinggal sekangkang kera sejak era Perikatan dan UMNO-BN.
Dan kini tugas kita bersama adalah untuk menambah ikhtiar dan program bagi memulihkan keyakinan masyarakat Melayu dan rakyat keseluruhannya.
Faham perkauman yang dijaja UMNO adalah buat melindungi jenayah dan penyelewengan khazanah negara seperti 1MDB. Malah lebih ketara adalah pengkhianatan amanah bangsa Melayu sepertimana yang berlaku dalam FELDA dan FGV.
Waspadalah dengan fitnah yang akan berleluasa menjelang PRU14. Pihak penguasa tidak mampu memadamkan segala kerosakan hasil kegelojohan mereka.
Harga barang tidak lagi terkawal dan keperitan hidup kian terasa; rasuah bermaharajalela dari kepala hingga trafik ditepi jalan. Sekali lagi fitnah akan menjadi senjata utama mereka.
Izinkan saya menukil puisi karya Sasterawan Negara Prof Muhd Hj Salleh – ‘Setitik’ (1999)

Senafas kata fitnah
diucap belakang tabir
dengan mata belati melihat
berdarah suatu keturunan
Seadegan aniaya
dirancang dalam skrip rahasia
dilakonkan dilebuh:
terpenjara hukum dibelakang jerjak
Setitik racun biru
dirintikkan
ke permukaan kolam bangsa
maka mautlah bangsa
SEKIAN, TERIMA KASIH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA