Sabtu, 8 Julai 2017

TUN MAHATHIR&ANWAR LAWAN NAJIB&ZAHID HAMIDI – SELAMAT TINGGALLAH UMNO, BN!


Perakuan Tun Mahathir Mohamad untuk menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri sebenarnya memberi makna yang besar kepada perubahan dalam negara yang sedang menjadi dambaan majoriti rakyat sekarang ini.
Setelah bertemu dua kali dengan Anwar di mahkamah sebelum ini, sokongan terbuka Tun Mahathir kali ini ibarat pematrian terakhir lagi kukuh bersama bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang akan dibawanya hingga ke hujung nyawa.
“Dalam kes Anwar kita boleh berhujah yang dia tidak dilayan secara adil. Jelas sekali keputusan mahkamah dipengaruhi kerajaan dan saya rasa kerajaan akan datang mampu memujuk Yang Dipertuan Agong untuk memberi pengampunan Diraja kepada Anwar.
“Dalam keadaan dia mampu terlibat kembali dalam politik dan menjadi Perdana Menteri, saya tidak ada bantahan,” kata Pengerusi Bersatu itu dalam temubual dengan Guardian, baru-baru ini.
Kata-kata beliau itu dengan sendirinya mampu memberi laluan untuk selesainya isu kepimpinan dalam Pakatan Harapan, sebuah gabungan yang bakal didaftarkan secara rasmi untuk menumbangkan UMO dan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Tun Mahathir kini tentunya tiada halangan ini untuk dipersetujui sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan seterusnya menjadi “kepala perang” bagi menentang Najib Razak, UMNO dan BN.
Meskipun ada yang mempertikaikan beliau sudah terlalu tua dan dianggap sebagai kitar semula, tetapi kita yang inginkan perubahan haruslah berfikiran terbuka bahawa “siapakah lagi yang paling sesuai dan digeruni untuk menumbangkan Najib selain daripada Tun Mahathir”?
Soal sama ada Tun Mahathir akan menjadi Perdana Menteri peralihan atau tidak selepas itu, ia seharusnya menjadi soal kedua kerana yang penting ialah kemampuan dan pengalaman beliau dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam “perang” PRU 14 nanti.
Setelah menang, jika Pakatan Harapan mahu beliau menjadi Perdana Menteri peralihan buat sementara waktu dengan tugas utama untuk memulihkan ekonomi, memenjarakan petualang-petualang bangsa, mengembalikan kekayaan negara dan memujuk Yang Dipertuan Agong untuk pembebasan Anwar, kita seharusnya juga mengakui bahawa hanya Tun Mahathir ada kelebihan tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Kiranya setelah itu, semua parti dalam Pakatan Harapan mahukan jawatan Perdana Menteri diberikan kepada Anwar untuk beberapa tahun sebelum diserahkan kepada pimpinan muda seperti Azmin Ali, Rafizi Ramli, Mukhriz dan sebagainya, ia tentunya juga jauh lebih baik berbanding jatuh ke tangan pemimpin-pemimpin yang sedia ada dalam UMNO sekarang ini.
Sifir mudahnya ialah dengan pengakuan Tun Mahathir untuk menyokong Anwar dari segi pengampuan dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, gandingan Mahathir/Anwar kini sah muncul kembali buat kali kedua.
Yang menariknya, gandingan itu muncul hanya setelah beberapa minggu sebelum ini Anwar mengumumkan menarik diri sebagai calon Perdana Menteri serta menyeru semua pihak dalam Pakatan Harapan memfokuskan kepada matlamat utama mencapai kemenangan terlebih dahulu.
Secara tersiratnya bermakna, fokus Pakatan Harapan untuk menumbangkan UMNO dan BN akan lebih kukuh dan mantap lagi selepas ini.
Isu kepimpinan, pendaftaran, logo, pembahagian kerusi dan yang lain-lain akan selesai dengan sendirinya dan lebih mudah secara berperingkat-peringkat dan semuanya tidak dinafikan amat menakutkan Najib.
Najib sendiri tidak melindungkan rasa gerun dan gentarnya dengan perkembangan terbaru ini. Sebab itu, dalam keadaan mahu pulang ke tanahair dari percutiannya di Perth dan seakan hari liburnya sudah terganggu, beliau nampaknya tidak menyembunyikan perasaan gundah-gulananya dengan sanggup secara tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan kira-kira jam 9.30 malam semata-mata untuk mengecam keras musuh politiknya itu.
Katanya, beliau akan menghalang usaha Tun Mahathir untuk menyingkirkannya kerana ia didorong oleh kepentingan peribadi dan lebih untuk memastikan anaknya, Mukhriz dipilih menjadi Perdana Menteri.
“Pusingan U terbarunya menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri tidak semudah yang dilihat. Hakikatnya sokongan kepada Anwar didorong kebimbangan tentang keputusan kabinet membentuk Suruhanjaya Diraja berkaitan urusniaga forex yang akan membawa kepada pertuduhan jenayah.
“Jadi dia tidak mampu berdepan dengan individu berkaitan dengan kes itu seperti Anwar yang boleh memberikan keterangan menentangnya,” kata Najib lagi.
Lihat, siapa yang sedang bimbang sebenarnya?
Belum pun diketahui siapa anggota Suruhanjaya Diraja yang bakal dilantik berkaitan forex itu, Najib sudah awal-awal lagi membayangkan ada pertuduhan jenayah akan dikenakan terhadap Tun Mahathir?
Bagaimana Najib boleh tahu dan yakin mengenainya?
Adakah memang tujuan dan niat Suruhanjaya Diraja itu diwujudkan oleh kabinet yang dipengerusikan oleh Najib ialah untuk mengenakan pertuduhan jenayah kepada Tun Mahathir dan seterusnya menghalang daripada menjadi “kepala perang” dalam PRU 14?
Tidakkah kenyataan Najib itu dengan sendirinya mengesahkan kebimbangannya terhadap gandingan Tun Mahathir/Anwar?
Apa pun gundah rasa dalam hati, berbanding gandingan Najib/Zahid Hamidi – satu terlalu sarat  dengan beban 1MDB serta seluruh dunia memandang serong kepadanya dan satu lagi tiada jasa, kecuali membenarkan kelulusan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh, rasanya rakyat Malaysia belum “buta hati”  untuk mengenepikan gandingan Tun Mahathir/Anwar demi masa depan yang lebih baik buat negara.

2 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA