Sabtu, 22 Julai 2017

TUN M DIPILIH KERANA PENGARUH DAN KEYAKINAN, PAKATAN HARAPAN DI LANDASAN BETUL MENUJU KEMENANGAN


Dilihat daripada cara pemimpin UMNO menyerang Tun Mahathir Mohamad dan dalam masa yang sama terus mempropagandakan bahawa DAP yang sebenarnya paling berkuasa dalam Pakatan Harapan berikutan memiliki lebih kerusi Parlimen, ia tidak lain memberi gambaran mereka sedang terancam dan kelemasan.
Jika dulu mereka mempersoalkan kenapa DAP tidak menerajui Pakatan Harapan serta seolah-olah bersimpati kerana tiada pemimpin DAP disenaraikan dalam tiga kedudukan teratas gabungan pembangkang itu, kini mereka sendiri yang menjaja cerita bahawa Tun Mahathir hanyalah boneka semata-mata.
Bolehkah dipercayai Tun Mahathir sedia menjadi boneka kepada sesiapa?
Adakah mereka fikir Tun Mahathir sama seperti Najib yang mudah diperkuda dan dikuasai oleh Jho Low?
Tambah mereka, oleh kerana DAP memiliki 37 kerusi Parlimen berbanding Bersatu hanya satu, sebenarnya parti itulah yang paling berkuasa, menentukan haluan dan pembuat keputusan dalam Pakatan Harapan.
Dengan terus menjadikan DAP sebagai belasahan untuk menyerang Tun Mahathir, ia dengan sendirinya mengesahkan UMNO dalam keadaan kebimbangan dengan penguasaan mereka terhadap kerajaan yang bakal hilang.
Hakikatnya, mereka tahu bahawa struktur kepimpinan Pakatan Harapan dengan Tun Mahathir menjadi pengerusinya,  ia adalah ancaman sebenar kepada hayat politik Najib, UMNO dan BN.
Tun Mahathir dengan kedudukan tersebut kini berada dalam keadaan cukup selesa untuk mencetuskan bukan saja tsunami Melayu, bahkan juga tsunami rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Siapakah lagi yang paling dipercayai untuk memulihkan negara, menstabilkan ekonomi dan memberi harapan baru kepada rakyat melainkan sosok Tun Mahathir yang terpacak banyak mercu tanda sepanjang 22 tahun pemerintahannya untuk dikenang dan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia?
Apakah Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB, memperkenalkan GST, menarik subsidi dan dan membuatkan rakyat terbanyak sakit hati, mampu menandingi rekod cemerlangnya?
Adakah Najib yang dibantu oleh Zahid Hamidi mampu menahan arus perubahan di sebaliknya sudah berbaiknya Tun Mahathir dengan Anwar Ibrahim dan masing-masing sedia melupakan cerita silam demi memulihkan negara yang hampir rosak binasa?
Semua persoalan ini ada jawapannya di sebalik semua serangan yang ditujukan oleh UMNO kepada Tun Mahathir dan kebergantungan mereka untuk terus mengaitkannya dengan DAP yang kononnya menguasai Pakatan Harapan.
Dalam hal ini, mereka sebenarnya lupa bahawa Pakatan Harapan tidak sama seperti BN. Dalam BN, semua jawatan utamanya dimonopoli oleh pemimpin UMNO. Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan beberapa jawatan lagi,  semuanya diisi oleh pemimpin UMNO.
Ia tiada kestabilan dan tiada hak sama rata, meskipun hakikatnya tanpa sokongan kerusi di Sabah dan Sarawak, BN sudah pun lama berlayar malam kuasa digenggaman.
Ia berbeza dalam Pakatan Harapan. Semua parti ada hak dan kedudukan seimbang serta sama rata. Pemilihan dan pembahagian jawatan tidak disandarkan kepada berapa jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki, tetapi bersandarkan keyakinan, keperluan dan pengaruh untuk mencetuskan perubahan.
Tun Mahathir dipersetujui sebagai pengerusi atas keyakinan bahawa beliau mampu dan berkedudukan lebih baik untuk menyingkirkan Najib memandangkan Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat pada pilihanraya 2013 lalu, kini sedang berada di penjara.
Jika Najib berprestasi lebih buruk dalam pilihanraya 2013 berbanding pencapaian Tun Abdullah Badawi pada 2008 sedangkan dikata lemah dan banyak masalah, apakah beliau mampu berhadapan dengan Tun Mahathir yang sepanjang lima kali pilihanraya diterajuinya semua dengan keputusan cemerlang dua pertiga?
Najib, pimpinan UMNO dan semua penasihat Seri Perdana pasti sedar mengenainya dan inilah yang sedang membuatkan mereka pening kepala. Bersama segala masalah yang melingkari Najib, peluang untuk beliau bertahan cukup tipis sebenarnya.
Sementara Najib dan semua pimpinan UMNO sedang cuba membelasah dan melemahkan Tun Mahathir, sambil berharap dengan berterusan mengaitkan Pakatan Harapan tetap dikuasai DAP akan sedikit sebanyak membantu, perbualan di banyak peringkat dalam UMNO sendiri sudah pun beralih kepada pertanyaan lain – adakah Najib bakal melarikan diri ke luar negara sebelum tiba tarikh piliharaya?
Pertanyaan yang semakin merebak di mana-mana itu dengan jelas memperlihatkan keyakinan UMNO dan BN sendiri untuk menang sudah kian menipis dan berkurangan.
Tun Mahathir di sebalik keyakinan Pakatan Harapan akan mengambil alih kerajaan, turut melahirkan kebimbangan jika Najib akan melakukan penipuan untuk terus mengekalkan kuasanya.
Namun, bagaimana jika penipuan tidak berjaya atau tidak upaya menahan kemenangan yang dijulang oleh semangat perubahan membuak-buak daripada rakyat?
Adakah melarikan diri tetap suatu pilihan atau adakah Najib sekuat Anwar yang sedia berhadapan dengan perbicaraan, hukuman dan pemenjaraan apabila tidak lagi berkuasa?

1 ulasan:

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA