Ahad, 30 Julai 2017

Tukar kerajaan bawa kesan buruk kerja bodoh, sembang Najib

Najib menegaskan menukar kerajaan yang sedia ada bukanlah jaminan dan jalan penyelesaian terbaik kepada semua masalah, malah dikhuatiri akan lebih memudaratkan negara dan rakyat.
najib-perdana-putra
LIPIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan menukar kerajaan yang sedia ada bukanlah jaminan dan jalan penyelesaian terbaik kepada semua masalah, malah dikhuatiri akan lebih memudaratkan negara dan rakyat.
Presiden Umno itu berkata rakyat seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa kebangkitan rakyat atau Arab Springs yang menyaksikan banyak negara Timur Tengah seperti Iraq, kini bergolak.
“Menukar kerajaan bukan penyelesaian, kalau lebih baik masuk akal… kalau lebih buruk, lebih mendatang bala dan bencana serta lebih tidak menentu, lebih mendatangkan bala dan bencana… itu bodoh punya kerja… minta maaf terpaksa kata.
“Doktor saya di IJN (Institut Jantung Negara) bagi tahu ada pesakitnya orang Iraq apabila tanya mana lebih baik dahulu atau sekarang, dia kata seburuk-buruk zaman presiden Saddam Hussein sekurang-kurangnya mereka ada makanan di atas meja, anak boleh ke sekolah, keadaan negara aman.
“Tetapi sekarang lihatlah, hancur lebur semuanya… kerana itulah menjatuhkan kerajaan sedia ada tidak akan menjanjikan kerajaan yang lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia telah melalui banyak fasa pembangunan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) baik di kawasan bandar dan luar bandar dengan pelaksanaan projek-projek ekonomi berimpak tinggi selain kebajikan rakyat sentiasa dibela.
“Sehingga hari ini pakar-pakar ekonomi mengatakan Malaysia hari ini berjaya terlepas daripada perangkap pendapatan pertengahan. Malaysia kini merupakan negara ke-25 paling berdaya saing dunia. Perkembangan ekonomi negara kita juga diramalkan boleh menghampiri tahap lima peratus.
“Malaysia bukan negara gagal, kenapa perlu menukar kerajaan kalau kerajaan sedia ada boleh membantu rakyat dan membangunkan negara,” katanya.
Sementara itu Najib berkata kekuatan parti Umno bukan terletak kepada individu mahupun presiden, tetapi adalah disebabkan perpaduan di kalangan 3 juta anggotanya di seluruh negara.

1 ulasan:

  1. Sepuluh kali bodoh jika kekalkan penyamun sebagai ketua kerajaan.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA