Rabu, 5 Julai 2017

Tubuh Lembaga Penasihat, Pas didakwa ketepi perlembagaan parti


Lembaga Penasihat Pas ini adalah institusi baharu yang baru dicipta dalam sejarah Pas. Belum pernah sebelum ini semenjak penubuhan Pas pada tahun 1951 institusi ini ditubuhkan.
Baru-baru ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) telah mengumumkan pelantikan empat orang veteran Pas iaitu Datuk Mustafa Ali, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (mantan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dan Timbalan Menteri Besar Kelantan), Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok (Ketua Jawatankuasa Disiplin Pas) dan Hj Subky Latiff (wartawan veteran) sebagai ahli jawatankuasa dalam Lembaga Penasihat Pas.
Lembaga Penasihat Pas ini adalah institusi baharu yang baru dicipta dalam sejarah Pas. Belum pernah sebelum ini semenjak penubuhan Pas pada tahun 1951 institusi ini ditubuhkan.
Perlembagaan PasPengumuman itu menjadi kecoh kerana ia dibuat oleh TITM yang telah mempengerusikan suatu mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat tanpa kehadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah bercuti sakit.
Spekulasi telah tercetus bahawa sudah timbul konflik di antara kedua-dua pimpinan Pas itu memandangkan sebelum itu Datuk Mustafa Ali sudah digugurkan dalam senarai Jawatankuasa Pas Pusat setelah berada dalam Jawatankuasa itu semenjak tahun 1975.
Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat sebelum ia digantikan dengan seorang yang tidak berpengalaman dalam urusan pilihan raya iaitu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bekas Setiausaha Politik Presiden Pas.
Sebelum menjadi Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali adalah Setiausaha Agung Pas. Pada peringkat awal lagi pertukaran jawatan ini dianggap oleh ramai pemerhati politik sebagai usaha Presiden Pas untuk menurunkan pangkat beliau.
Namun, sekurang-kurangnya kedua-dua jawatan ini adalah jawatan yang terkandung di bawah Fasal 26 Perlembagaan Pas.
Pas ketepi Perlembagaan parti
Soalnya, di manakah kedudukan Lembaga Penasihat Pas ini dalam Perlembagaan Pas? TITM dilaporkan telah berkata, "Apabila kita wujudkan badan penasihat kepada parti, ia di luar dari Perlembagaan Pas. Jika ikut perlembagaan kita sudah ada Majlis Syura. Sebagai penghormatan Presiden kepada tokoh-tokoh veteran parti yang banyak menyumbang pandangan supaya boleh lagi beri sumbangan berterusan kepada Pas, meskipun tiada jawatan rasmi".
Perkembangan ini menunjukkan seolah-olah Pas sudah mengetepikan peruntukan Perlembagaannya sendiri padahal Perlembagaan Pas sendiri telah memberikan ruang lantikan yang sewajarnya kepada mana-mana anggota parti.
Masakan kesemua AJK Kerja Pas Pusat tidak memahami peruntukan Perlembagaannya sendiri apabila meluluskan penubuhan Lembaga Penasihat ini? Apakah TITM tidak mendapat nasihat daripada peguam parti Pas yang ramai itu sebelum membuat langkah aneh ini.
Paling mustahak, adakah tindakan mewujudkan Lembaga Penasihat ini bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Pas sendiri sehingga mewajarkan untuk dikatakan Lembaga Penasihat ini sebagai institusi haram dalam Pas. Wajarkah meletakkan veteran parti yang berjasa kepada Pas sebelum ini dalam kedudukan sebuah entiti haram?
Sebenarnya jika benar-benar Datuk Seri Abdul Hadi dan TITM benar-benar menghargai veteran ini wajarlah mereka ini dilantik sebagai sebagai AJK tambahan dalam JK Kerja Pas Pusat supaya mereka ini dapat berfungsi dengan sebaiknya.
Ini kerana Presiden Pas mempunyai kuasa untuk melantik 6 orang AJK tambahan dengan persetujuan mesyuarat JK Kerja Pas Pusat di bawah Fasal 25(2) Perlembagaan Pas. Dengan keabsahan ini baharulah veteran Pas itu dapat berfungsi dengan sewajarnya.
Meletakkan veteran Pas ini di luar kerangka Perlembagaan adalah sama seperti meletakkan Lembaga Penasihat ini sama taraf dengan Lembaga Penasihat Kedai Kopi sahaja. Lembaga Penasihat ini tidak akan mampu mengatasi kuasa yang ada dalam Perlembagaan dan jauh sekali daripada berperanan dengan efektif.

Selain itu, katakan bahawa nasihat Lembaga Penasihat Kedai Kopi ini diterima oleh Presiden dan TITM, sejauh manakah nasihat itu dapat disampaikan ke dalam mesyuarat JK Kerja Pas Pusat? Maka dalam mana nasihat Lembaga Penasihat Kedai Kopi ini tidak diiktiraf maka akhirnya ahli Lembaga Penasihat Kedai Kopi ini akan berputus asa dan tidak lagi memberikan apa-apa nasihat berguna kepada parti.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Pengerusi Lajnah Pertanian atau Lajnah Kebajikan adalah lebih tinggi statusnya daripada Pengerusi Lembaga Penasihat. Sekurang-kurangnya lajnah-lajnah ini adalah jawatan rasmi yang ditubuhkan di bawah Fasal 26(9)(h) Perlembagaan Pas berbanding Lembaga Penasihat Kedai Kopi ini.
Oleh itu, sebenarnya desas-desus yang menyatakan bahawa sebenarnya ada konflik antara Presiden dan Timbalan Presiden PAS itu adalah munasabahnya.
Timbalan Presiden masih lagi percaya dan memerlukan nasihat daripada veteran Pas ini khasnya Datuk Mustafa Ali sendiri tetapi Presiden sudah tidak lagi menaruh kepercayaan kepada beliau.
Datuk Mustafa Ali adalah tokoh Pas yang bersama dalam kerajaan campuran Umno-Pas dalam tahun 1970-an dahulu dan beliau telah merasa pahit maung untuk bekerjasama dengan Umno dalam aspek politik. Sudah pastinya Datuk Mustafa Ali sudah perit untuk bekerjasama dengan Umno dalam PRU14 ini.
Pilih BN atau PH
Pas sendiri tidak mempunyai banyak pilihan kerana pilihan untuk menjadi blok ketiga nampaknya bakal mendatangkan kerugian kepada Pas sendiri.
Oleh itu, Pas perlu memilih untuk bekerjasama Barisan Nasional atau dengan Pakatan Harapan. Menurut sumber daripada beberapa institusi kajian politik menunjukkan Pas bakal kehilangan majoriti kerusi jika bertanding secara sendirian.
Rumusannya, pelantikan Datuk Mustafa Ali dalam Lembaga Penasihat Pas ini hanya sekadar tindakan politik yang ingin menunjukkan kepada orang awam bahawa khidmat Datuk Mustafa Ali masih lagi ditagih. Pada masa yang sama niat sebenar adalah untuk memencilkan dan meminggirkan veteran Pas ini.
Maka, adakah Datuk Mustafa Ali sanggup untuk menerima jawatan dalam entiti haram yang tiada dalam struktur perlembagaan Pas sekaligus memperkecilkan dan merendahkan maruahnya sebagai veteran parti.

Dr Zulqarnain Luqman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA