Selasa, 18 Julai 2017

'Tsunami Melayu' untuk takutkan Cina, kata pemuda MCA

Pada dua pilihan raya umum yang lalu, pengundi Cina kebanyakannya cenderung bersama pembangkang. Bagaimanapun sesetengah pihak mendakwa perkara itu kini tidak lagi berlaku kerana masalah yang melanda pembangkang.
Masyarakat Cina juga dikatakan kecewa apabila pembangkang bekerjasama dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memandangkan tindakan-tindakannya pada masa lalu dan ucapannya terhadap kaum Cina.
Dua pilihan raya lalu menyaksikan BN dan Umno masih menguasai sokongan besar di kalangan pengundi Melayu, terutama di kawasan luar bandar. Namun pembangkang kini mendakwa pilihan raya umum akan datang akan menyaksikan 'Tsunami Melayu'.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon mendakwa pembangkang hanya menjual janji ini kerana bimbang pengundi Cina kembali kepada BN.
"Ini terbukti dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta tinjauan yang dijalankan oleh MCA dan DAP," katanya dipetik oleh The Star.
Chong mendakwa ini merupakan cubaan untuk menakutkan pengundi Cina dengan menyertai orang Melayu yang tidak berpuas hati dan menterjemahkan undi mereka bagi menukar kerajaan sedia ada.
Menurut pemimpin Pemuda MCA itu, tinjauan bulanan yang dijalankan oleh partinya selama dua tahun terakhir menunjukkan purata 35 peratus pengundi Cina kini menyokong BN.
"Pada 2013, ia hanya antara 15 peratus dan 20 peratus. Malah DAP tahu perkara ini dari tinjauan yang mereka lakukan dan bimbang, jadi timbul Tsunami Melayu," katanya.
Chong menyifatkan penurunan sokongan kaum Cina terhadap pembangkang adalah disebabkan 'kompromi' DAP berikutan kematian pengerusinya, Karpal Singh.
"Pada masa itu, tongkat utama mereka adalah mendiang Karpal. Dengan kematiannya, DAP berkompromi dengan nilainya sendiri dan bersedia bekerja dengan orang seperti Mahathir," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA