Selasa, 25 Julai 2017

Tolak ekonomi modal rendah, guna peluang ekonomi penjagaan



Faiz Fadzil bersama pimpinan Pemuda Harapan di Wisma Amanah hari iniPemuda Pakatan Harapan menyarankan pendekatan dikenali sebagai Ekonomi Insani yang mengutamakan usaha mengembangkan kesejahteraan insan serta berpaksikan perpaduan segenap lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Angkatan Muda KeAdilan, Nik Nazmi Nik Ahmad, tawaran baharu jika Pakatan Harapan diberi mandat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu turut mengambil kira potensi ekonomi penjagaan yang melibatkan warga emas.
"Malaysia dijangka mempunyai 15 peratus penduduk berumur 65 tahun ke atas yang memerlukan penjagaan khas untuk orang tua.
"Kita mahu ekonomi kita berkembang dan tidak terlalu bergantung pada model ekonomi upah yang rendah," ujarnya pada sidang media di Wisma Amanah di ibu negara hari ini.
Berkongsikan pengalaman kerajaan negeri Selangor dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, Nik Nazmi berkata, aspek latihan dan pendidikan diberi penekanan.
"Kita tumpukan pada bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta teknikal dan vokasional. Malangnya di negara ini bidang teknikal, vokasional dipandang rendah berbeza dengan negara-negara maju.
"Kerajaan negeri Selangor banyak melakukan program kemahiran dan teknologi. Kita juga mengadakan banyak program kerjaya dan kita melihat respon rakyat cukup baik," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan terdapat jurang tinggi antara permintaan rakyat terhadap peluang pekerjaan yang ditawarkan.
"Inilah masalah utama dihadapi anak muda yang akan Pakatan Harapan selesaikan," tegasnya lagi.
Sementara itu, Exco Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Howard Lee Chuan How menyifatkan peluang yang wujud daripada Ekonomi Penjagaan turut berkaitan dengan bidang latihan.
"Banyak peluang kerja diwujudkan kerana penjaga perlu dilatih sebab kita mahu aspek penjagaan warga emas secara profesional yang dilakukan melalui polisi," jelas Ketua Dapsy Perak itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA