Rabu, 26 Julai 2017

'Tanya fasal kucing menteri cakap fasal tikus' - Rafizi



Rafizi Ramli THAhli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan jawapan-jawapan menteri kepada soalan-soalan beliau di Parlimen sesi ini sebagai "menguji iman dan kesabaran".
"Banyak jawapan ala-ala Dumb & Dumber," kata beliau.
Dumb & Dumber ialah sebuah filem komedi yang mencipta box office dalam tahun 1994.
Beliau menyifatkan kemahiran paling hebat menteri dalam menjawab soalan parlimen ialah bagaimana untuk tidak bercakap benar tanpa berbohong terang-terangan.
"Orang tanya pasal kucing dia cakap fasal tikus," kata beliau di laman Twitternya.
"Ini seperti Aes Sedai di dalam Wheel of Time," kata Naib Presiden PKR itu lagi.
Aes Sedai disifatkan sebagai gerombolan yang sangat manipulatif, tidak boleh dipercayai dan pembuli-pembuli yang gila kuasa.
Dalam perkembangan lain, Rafizi meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperincikan dari mana datangnya sumber untuk membayar pelbagai insentif kepada peneroka Felda.
Antaranya ialah wang tunai RM5,000 bagi setiap peneroka yang layak melibatkan peruntukan RM475 juta, sumbangan untuk mengurangkan pinjaman pembelian saham FGV yang ditanggung peneroka melibatkan peruntukan RM128 juta, pengurangan hutang penanaman semula peneroka sebanyak RM5,000 bagi setiap peneroka melibatkan peruntukan RM519 juta dan dana RM300 juta sebagai tabung pinjaman untuk membantu penanaman semula.
"Empat 'gula-gula' utama ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.422 bilion pada masa Kerajaan Persekutuan dan Felda tidak mempunyai sumber kewangan," kata Rafizi.
Najib perlu memperincikan dari mana pentadbiran beliau akan memperolehi dana RM1.422 bilion tersebut supaya peneroka-peneroka tidak menjadi mangsa gula-gula Barisan Nasional (BN) buat kali kedua, kata beliau.
"Najib mungkin merasakan sogokan yang diumumkan itu akan dapat mengembalikan sokongan peneroka Felda kepada Umno, BN.
"Beliau sepatutnya lebih bimbang bahawa rakyat keseluruhannya semakin memahami kos yang ditanggung rakyat akibat keputusan-keputusan bodoh dan penyelewengan pentadbiran beliau," kata Rafizi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA