Ahad, 9 Julai 2017

Tan 'tunggu dan lihat' perbincangan meja bulat 1MDB..!!

Anggota Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung pelawaan ke perbincangan meja bulat mengenai 1MDB.
Tan berkata beliau telah membaca mengenainya di media tetapi tidak menerima sebarang jemputan secara bertulis. Beliau mengakui bimbang perkara itu dipolitikkan.
Selain timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau berkata ramai yang lain telah dijemput untuk bercakap mengenai isu berkenaan.
"Pendirian saya adalah jelas: Dana awam mestilah telus dan bertanggungjawab. Bagi sesiapa sahaja yang berurusan dengannya, itulah sepatutnya.
"Orang yang mempunyai banyak kepentingan termasuk ahli politik ingin mempolitikkan - itu perkara utama - dengan kenyataan separuh benar dan kiasan," kata timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Apabila ditanya sama ada beliau sanggup menghadiri perbincangan itu, Tan menjawab, "Saya tidak tahu, saya perlu lihat keadaannya, saya tidak mahu dieksploitasi dan dibodohkan.
"Ia adalah dana awam, gunakannya dengan betul.Titik," katanya.
Organ rasmi PAS Harakah semalam melaporkan parti itu akan menganjurkan perbincangan meja bulat mengenai 1MDB pada 7 Ogos.
PAC adalah antara badan yang telah menyiasat skandal tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA