Sabtu, 22 Julai 2017

Tahniah Dato’ Seri A. Samad Said, sasterawan rakyat bersenjata pena dan puisi

OLEH: LIM KIT SIANG
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Sasterawan Negara Dato’ Seri A. Samad Said di atas penganugerahan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri oleh TYT Tun Dato’ Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Penganugerahan ini adalah satu simbol pengiktirafan kepada beliau, atas khidmat bakti yang telah dicurahkan dalam dunia kesusasteraan dan budaya di tanah air, selain untuk sumbangan yang tidak ternilai harganya kepada lapangan aktivisme dan politik negara.

Samad SaidPak Samad, seperti panggilannya di kalangan kita semua, adalah manifestasi ‘puisi jadi senjata’ di tengah-tengah medan politik Malaysia yang kini sedang berada di perbatasan pilihanraya paling penting dalam sejarah negara.
Pak Samad adalah panglima rakyat, dengan bersenjatakan pena dan kata-kata, memujuk hati nurani kita semua agar mengusung perubahan dan mencapai impian kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara.
Hasil-hasil karya Pak Samad tidak pernah gagal membawa tema dan suara rakyat marhaen ke khalayak umum. Novel ‘Salina’ contohnya menjadi cerminan kesempitan hidup rakyat pasca perang dunia kedua, dan bagaimana rakyat marhaen ditindas.
Sajak-sajak Pak Samad setelah terjun ke lapangan aktivisme lebih-lebih lagi menggambarkan perasaannya yang menyala-nyala.
Sajaknya yang dibaca bersempena Himpunan Kebangkitan Rakyat, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-13 sangat mengesankan. Dan sehingga kini pun masih terus meniup bara semangat kita semua.
“Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.
Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.”
– Di Atas Padang Sejarah, Januari 2013
Menuju bulan Ogos, saya kira bait-bait puisi Pak Samad ini perlu kita tekuni kembali. Bagaimana Pak Samad meluahkan cita-citanya untuk negara dengan apa yang disebutnya sebagai rindu kepada demokrasi.
Kerinduan beliau kepada demokrasi itu mungkin antara faktor kenapa beliau akhirnya memilih untuk menyertai DAP. Setelah puluhan tahun buah fikirnya hanya terhad di helaian kertas dan buku, Pak Samad memilih DAP sebagai wadah untuk menzahirkan erti dan makna setiap huruf dan kata yang pernah ditulisnya, sebagai satu pelaksanaan dan bukan sekadar kata-kata.
“Saya mengikuti perkembangan politik dalam tanah air. Saya putuskan menyertai DAP kerana parti ini ialah parti siasah yang ada landasan yang jelas dan anggota parti yang bersungguh-sungguh.
“Apa guna tulisan sahaja, lebih baik sertai parti politik.” Itu kata Pak Samad ketika ditemubual media selepas mengisytiharkan diri masuk DAP. Ketika itu kami di Gua Musang, Kelantan, melihat kerja-kerja membangunkan kembali kawasan-kawasan yang teruk dilanda banjir.
Pak Samad masuk DAP dengan tujuan jelas untuk menyebarkan mesej impian Malaysia, di mana rakyat seluruh negara boleh hidup saling bertoleransi, aman makmur dan harmoni, tanpa penindasan kuasawan dan pemodal yang merompak kekayaan negara demi memenuhi hajat dan kemahuan diri sendiri.

Dalam keadaan itu pun masih ramai yang bimbang untuk menukar kerajaan dalam pilihanraya akan datang kerana katanya takut Melayu hilang kuasa.
Ketika kekayaan negara dirompak dan perompaknya bebas merdeka tidak runsing diambil tindakan, ramai lagi yang memberi tumpuan kepada politik perkauman.
Apa kata Pak Samad terhadap ketakutan ini?
“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya. Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.”
Pada pilihanraya umum yang akan datang, kita menjangkakan sebuah gelombang tsunami di kalangan pengundi Melayu akan memecahkan kubu-kubu UMNO, terutamanya setelah Pakatan HARAPAN berjaya mengemukakan struktur organisasi dan lambang yang disepakati.
Kita sudah boleh melihat bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berada dalam keadaan panik dan tidak mampu menjamin sokongan penjawat awam dan demikian ramai orang Melayu yang sudah celik, mungkin kerana membaca dan bersetuju dengan pemikiran Pak Samad.
Keadaan panik Najib Razak ini menyebabkan beliau mengerah bala tentera sibernya untuk terus menghasilkan kisah-kisah fitnah, fiksyen dan pembohongan bertalu-talu terhadap pimpinan HARAPAN.
Tetapi kami ada Pak Samad, yang akan terus setia mengungkapkan kebenaran dengan senjata pena dan katanya. Mana mungkin pembohongan dan fitnah akan dapat menewaskan kebenaran.
Tahniah sekali lagi buat Pak Samad, sasterawan rakyat bersenjata pena dan puisi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA