Selasa, 18 Julai 2017

Syed Ibrahim: Perkasakan gerakan akar umbi

Menjelang tahun 2018, maka hampir genap 20 tahun Reformasi yang dipelopori oleh Ketua Umum KEADILAN dan terkini Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hingga kini, gerakan rakyat dan reformasi terus menjadi tonggak kepada perjuangan meskipun menghadapi cabaran getir tekanan oleh Umno Barisan Nasional (BN).
Ini jelas termaktub dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Harapan (HARAPAN) pada 13 Julai lalu. Kenyataan bersejarah hasil daripada perbincangan panjang berkenaan telah dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi HARAPAN.
Kenyataan itu bukan semata-mata mengumumkan struktur dan logo HARAPAN tetapi lebih penting lagi matlamat-matlamat untuk membela rakyat dan membina semula negara.
Ia berkisar tentang reformasi dan pemulihan kuasa kepemimpinan khususnya perdana menteri, kedaulatan dan keluhuran undang-undang, institusi dan penyelewengan 1MDB.
Malah Majlis Presiden HARAPAN melangkau matlamat-matlamat tersebut dengan memberi iltizam untuk melaksanakan beberapa perkara asas dalam tempoh 100 hari pertama sejurus membentuk kerajaan hasil daripada mandat rakyat dalam PRU-14.
Ini ialah menghapuskan cukai GST, menstabil harga petrol, meMfokus usaha meringankan beban rakyat, memulakan proses reformasi institusi, memerangi rasuah, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal 1MDB dan memulihkan FELDA.
Pengampunan untuk Anwar
Tambah mencerminkan komitmen kepada kerangka yang lebih besar tanpa meminggirkan jasa terdahulu ialah HARAPAN akan memulakan proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar Ibrahim dalam tempoh seminggu selepas membentuk kerajaan. Ini akan membolehkan Anwar Ibrahim kembali mengambil bahagian dalam politik negara sepenuhnya.
Justeru kalimah reformasi telah menjadi pemangkin arus perubahan malah mewarnai pelbagai gagasan pembaharuan termasuk Pakatan Harapan. Reformasi tidak hanya dibina dalam tempoh sehari. Hanya selepas 10 tahun gelombang ini tercetus, pembangkang telah menafikan kedudukan majoriti dua per tiga BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Ini diikuti pada PRU13 yang turut mencatat sejarah, apabila Pakatan Rakyat memperoleh 51 peratus undi popular berbanding BN yang hanya mendapat 47 peratus. Lantas tidak mungkinkah setelah dua dekad era reformasi maka Umno BN tewas dan tampuk pemerintahan jatuh kepada HARAPAN?
Banyak petanda
Banyak petanda menunjukkan begitu. Yang terkini ialah apa yang berlaku di Johor. Johor yang dianggap kubu kuat Umno BN kini menjadi medan survival politik mereka. Setelah diserang bertubi-tubi oleh pimpinan Harapan dengan program dan jelajah, Umno BN juga mula tumpu ke Johor apabila Datuk Seri Najib, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut turun ke Sembrong, kawasan yang Ahli Parlimennya ialah Datuk Seri Hishammuddin sendiri.
Dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya itu, Najib bukan sahaja mengumumkan tiga projek untuk Sembrong malah tanpa segan silu menuntut pengundi Sembrong memenuhi hajat beliau supaya BN kekal menang di situ.
Tindakan Najib mempertahankan Sembrong seolah-olah menandakan kerusi itu mungkin terlepas dari tangan Umno BN walaupun ia dianggap kerusi kuat.
Budaya “saya tolong awak, awak tolong saya” ini ialah budaya lapuk untuk meraih undi. Rakyat sudah bertambah bijak malah tahu membezakan apa yang lebih utama.
Apa yang rakyat mahukan ialah kos sara hidup yang rendah, peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan parti pemerintah yang amanah dan bersih daripada noda rasuah dan penyelewengan.
Dari rakyat untuk rakyat
Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Pidato Kebangsaan “Ketuanan Rakyat” pada tahun 2009 pernah berkata, “Pendekatan lama yang menangguk di atas keperitan hidup rakyat miskin harus berubah.
Pemerintah tidak wajar sekadar membantu meredakan sedikit beban rakyat tetapi tidak melepaskan mereka dari putaran ganas kemiskinan; supaya mereka mampu berdikari.
Cara yang diamalkan selama ini dengan memberikan bantuan kecil untuk mengekalkan kebergantungan “dependency syndrome” untuk tujuan politik murahan perlu ditamatkan”.
Sebab itu sasaran dua dekad era reformasi sangat serasi dengan kehendak rakyat. Dari rakyat untuk rakyat. Bukan dari rakyat untuk aku dan kuncu-kuncuku. Perubahan tampuk pemerintahan wajib menekankan pemerkasaan sistem demokrasi dan polisi berpaksikan kebajikan rakyat.
Penubuhan Harapan yang disertai empat komponen parti pembangkang (KEADILAN, DAP, AMANAH, PPBM) dengan gabungan tokoh berpengalaman dan tokoh muda dilihat sebagai potensi untuk melaksanakan reformasi.
Kunci utama reformasi
Tetapi harus diingat, ahli politik bukanlah kunci utama reformasi. Rakyat merupakan watak utama memacu gerakan idea reformasi dalam politik nasional selama ini. Tanpa dokongan rakyat belum tentu fenomena dalam iklim pilihan raya Malaysia boleh berlaku sebagaimana yang berlaku kini.
Lantas, dalam memenangi PRU serta menumbangkan Umno BN, adalah menjadi satu keperluan untuk HARAPAN memperkasakan gerakan akar umbi. Ini bermaksud kelompok progresif ke arah perubahan harus menyedarkan masyarakat untuk bangun daripada terus ditindas oleh rejim perompak Umno BN.
Penduduk luar bandar, warga Sabah dan Sarawak, warga emas dan anak muda harus dibangkitkan daripada pengaruh propaganda murahan pemerintah yang memainkan isu perkauman dan agama sebagai perisai yang terus melindungi kuasa korup mereka.
Minat politik
Pengamal politik antarabangsa, Seonghui Lee menyatakan bahawa hanya 35 peratus rakyat Malaysia yang meminati dan kerap mengikuti perkembangan politik. Jumlah ini adalah bersamaan 5.5 juta pengundi yang berada di sebuah negara yang mempunyai lebih kurang 30 juta penduduk.

Keadaan ini cukup menggusarkan, apatah lagi seramai 3.8 juta rakyat Malaysia yang berkelayakan masih tidak mendaftar sebagai pengundi.
Tambahan pula, negara ini mempunyai kelompok pengundi atas pagar yang lebih besar. Maka kesedaran politik harus ditingkatkan melalui gerakan akar umbi yang melibatkan sumbangan bermakna masyarakat madani dan pendekatan “bottom-up approach”.
Gerakan ini perlu sentuhan dengan masyarakat secara langsung – dengan turun bersama-sama pimpinan HARAPAN melewati rumah ke rumah, kampung dan desa. Bukan sekadar memberikan risalah manifesto dan polisi reformasi atau mengumpulkan rakyat untuk pemberian “bungkusan” tetapi juga mengajak masyarakat di luar sana yang selama ini tidak cakna ataupun jauh dari kesedaran politik nasional untuk turut berperanan.
Kempen daftar undi
Kempen daftar undi dan pengkaderan jentera pilihan raya perlu dipergiat dan diusahakan, agar lebih ramai aktivis reformasi yang dilahirkan di seluruh pelusuk kampung, pekan, daerah, bandar dan negeri dapat bersama. Ia juga perlu mengajak rakyat untuk bersama sebagai penyelesai masalah.
Aktivis dan penggerak reformasi wajar dirai untuk sama-sama menggerakkan akar umbi terutama dalam menyeru golongan muda – khususnya belia berumur 18 tahun dan ke atas untuk bersama-sama menjadi pencetus perubahan pada PRU14 nanti.
Buat anak watan yang mempunyai kelapangan masa, isikan waktu ini dengan menyumbang tenaga dalam membina semula negara.
Buat warga Malaysia yang kini di perantauan, berikan sokongan idea dan sumbangan wang kepada badan-badan politik dan NGO untuk terus menghidupkan agenda perubahan di tanah air. Angkat tangan anda untuk menawarkan diri sebagai sukarelawan! Angkat tangan anda untuk menyelamat, memulih dan membina negara semula!
Masa semakin suntuk sebelum tibanya hari yang dinanti-nantikan masyarakat, apabila mereka berduyun-duyun keluar mengundi dan memangkah HARAPAN – sebagai simbolik tekad mahu tamatkan mimpi ngeri pentadbiran Umno BN dan terbitnya hari permulaan untuk pentadbiran reformasi Malaysia secara menyeluruh.

SYED IBRAHIM SYED NOH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA