Khamis, 27 Julai 2017

SPRM siasat satu lagi hotel dibeli anak syarikat Felda

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembelian sebuah lagi hotel oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Dalam satu kenyataan hari, badan pencegahan rasuah itu berkata hotel bertaraf empat bintang yang terletak di Kuching, Sarawak itu dipercayai dibeli pada harga yang lebih tinggi daripada harga asal.
Menurut sumber SPRM, siasatan berhubung pembelian hotel tersebut dibuat susulan siasatan berkaitan pembelian hotel oleh FIC di kota London antara tahun 2013 dan 2015.
"Maklumat awal yang diterima oleh pasukan penyiasat menunjukkan pembelian hotel tersebut telah mengakibatkan kerugian ratusan jutaan ringgit kepada FIC.
“Pasukan penyiasat kini sedang menilai maklumat-maklumat yang diterima dan dijangka akan pergi ke pejabat FIC di beberapa lokasi untuk mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pembelian hotel tersebut dalam masa terdekat,” tambah kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu juga menjelaskan Pengarah Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memulakan proses mengumpul maklumat berhubung pembelian hotel tersebut.
Beliau berkata suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan sama ada terdapat unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam proses pembelian tersebut.
Sementara itu, New Straits Times (NST) melaporkan beberapa individu dijangka akan dibawa ke mahkamah tidak lama lagi berhubung pembelian hotel oleh FIC di London.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Azam Baki memberitahu akhbar itu bahawa suruhanjaya itu telah menjalankan siasatan dan akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), minggu depan.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan berapa ramai individu yang akan didakwa, atau berapa banyak pendakwaan akan difailkan.
SPRM setakat ini memanggil lebih 100 saksi berhubung kes itu.
Azam turut memberitahu NST bahawa laporan kepada DPP berdasarkan dokumen yang telah dirampas oleh suruhanjaya itu dari ibu pejabat Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), serta kenyataan daripada individu yang disoal berhubung skandal itu.
Minggu lalu, SPRM menahan dua ejen harta tanah berkaitan pembelian hotel dengan harga yang tinggi, menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit melibatkan FIC.

1 ulasan:

  1. Siasat punya siasat last2 nfa atau laporan diosakan. hahaha

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA