Khamis, 6 Julai 2017

SPRM diminta siasat dakwaan pegawai perisik tentera terima RM7 juta dari Najib

AGENSI penguatkuasa pencegahan rasuah diminta untuk menyiasat dakwaan yang ketua perisik tentera menerima RM7 bilion daripada Perdana Menteri Najib Razak beberapa minggu sebelum pilihan raya umum 2013.
Bekas juruterbang Tentera Udara Di Raja Malaysia, Zaidi Ahmad membuat laporan berkenaan di Pulau Pinang hari ini selepas dakwaan itu pertama kali didedahkan dalam laman sesawang pemberi maklumat Sarawak Report awal minggu ini.
Dakwaan itu kemudiannya dilaporkan portal berita Malaysiakini.
Laporan itu mendakwa yang seorang pegawai atasan daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan menerima RM7 juta daripada Najib pada 2013.
Zaidi, bekas mejar tentera udara berkata dakwaan yang Najib membayar jutaan ringgit kepada seorang pegawai atasan tentera sebelum pilihan raya mengundang pelbagai persoalan.
Katanya lagi Najib patut menyaman Sarawak Report dan pegawai terlibat perlu membuat laporan polis sekiranya dakwaan itu tidak benar.
“Najib sebelum ini berkata yang dia menerima derma daripada keluarga di raja Arab Saudi tetapi membayar RM7 juta kepada seorang pegawai tentera beberapa minggu sebelum pilihan raya umum ke 13 menimbulkan banyak persoalan.
“Bayaran dibuat untuk perkhidmatan dan kerja. Tetapi kerja apa yang dilakukan pegawai itu sehingga membolehkan dia menerima bayaran besar? Selaku seorang pegawai atasan tentera, dia tidak dibenarkan menjalankan perniagaan lain.
“Adakah kerja itu melibatkan salah guna anggota, peralatan dan pangkalan data yang merupakan milik perkhidmatan Yang di Pertuan Agong, dan sepatunya menjadi rahsia?” kata Zaidi hari ini.
Dia juga mempersoalkan sekiranya “kerja” yang dibekalkan melibatkan apa-apa bentuk penipuan pilihan raya termasuklah pendaftaran pengundi, pemindahan dan undi anggota tentera, tentera pasukan simpanan khas, dan keluarga mereka bagi memastikan Barisan Nasional memenangi pilihan raya.
Katanya lagi, pemberian “hadiah” sama ada dalam bentuk wang atau barangan lain kepada penjawat awam ialah satu bentuk korupsi; apatah lagi kepada seorang pegawai atasan tentera yang “mengetahui banyak rahsia negara, dan mempunyai kuasa kawalan ke atas aset tentera seperti anggota, peralatan dan maklumat rahsia”.
“Bagi mendapatkan kembali keyakinan rakyat, perdana menteri perlu mengambil tindakan undang-undang kepada Sarawak Report, seperti yang dilakukan PAS baru-baru ini,” kata Zaidi.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini menyaman Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown kerana fitnah berkenaan rencana yang mendakwa parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Najib.

Saman itu difailkan di London.
Zaidi, yang merupakan pegawai maklumat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga menimbulkan persoalan sekiranya pegawai berkenaan sudah mengisytiharkan pendapatan peribadinya dan sama ada dia sebenarnya memberikan RM7 juta yang dikatakan diterimanya kepada pihak lain.
“Jika dia menyerahkan wang itu, siapa penerimanya? Berapa banyak setiap seorang mereka dapat? Adakah mereka isytiharkan wang itu dalam borang cukai mereka?”
Dia juga berkata pegawai berkenaan perlu mengisytiharkan aset peribadinya serta keluarga terdekatnya, menambah yang Kementerian Pertahanan perlu menyiasat dakwaan itu.
“Pegawai itu juga perlu diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan dilakukan,” katanya.

1 ulasan:

  1. Banyak juga kerja kotor yang najib lakukan. Menafikan dengan tutur kata tidak cukup tanpa bukti yang sahih. Berani kerana benar, jangan suka bohong sana bohong sini. Wahai rakyat bangunlah dan desak najib buktikan dengan documen, baru boleh pakai. Jgn jadi setan dan iblis.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA