Khamis, 13 Julai 2017

Skandal 1MDB: Syarikat Riza Aziz di Hollywood diambil alih sementara

Ia sementara menunggu penyelesaian dengan pihak berkuasa AS yang menyiasat syarikat itu atas dakwaan menggunakan wang curi 1MDB.
Douglas-Hansen,
Syarikat filem Hollywood yang diketuai anak tiri perdana menteri, Riza Aziz, kini akan diuruskan oleh seorang penerbit filem Hollywood selama sebulan, susulan penglibatannya dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengenai dakwaan ia menggunakan wang dicuri dari 1MDB.
Red Granite Pictures akan kini diuruskan penerbit filem Douglas Hansen, sementara menunggu penyelesaian dengan DoJ mengenai penglibatannya dalam dana 1MDB yang didakwa dilarikan di negara itu.
“Sementara suatu rundingan untuk penyelesaian sedang berjalan, pengurusan Red Granite akan bekerjasama dengan Hansen dan DoJ untuk menyelesaikan kes ini,” menurut kenyataan dikeluarkan syarikat itu.
Red Granite ditubuhkan Riza dan Joey McFarland, tetapi terpalit dengan dakwaan 3 filem yang diterbitkannya menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.
DoJ sejak tahun lalu berusaha merampas aset mewah yang menurutnya dibeli menggunakan lebih AS$1.5 bilion yang dilarikan daripada 1MDB menerusi transaksi meragukan.
Menurut siasatannya, sebahagian dana turut digunakan untuk penerbitan filem “The Wolf of Wall Street”, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home”.
Menurut DoJ, AS$238 juta dihantar ke akaun Red Granite dibawah Riza dan juga digunakan untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street”, di samping hasil keuntungan melebihi AS$50 juta untuk filem “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home”.
Red Granite ketika ini dalam persediaan mengumumkan filem terbarunya, Papillon, versi baharu filem yang pernah dibintangi Steve McQueen dan Dustin Hoffman.
Syarikat itu bagaimanapun berkata penerbitan filem Papillon tidak terkesan oleh siasatan itu.
“Operasi perniagaan lain syarikat diteruskan tanpa halangan,” katanya dipetik The Hollywood Reporter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA