Sabtu, 8 Julai 2017

Skandal 1MDB, senjata ampuh Pakatan Harapan

SKANDAL kewangan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetap menjadi isu pokok bagi Pakatan Harapan (PH) sebagai senjata ampuh untuk manifesto pilihanraya mereka yang akan datang.

Pemimpin PH berkata walaupun mereka mempunyai isu lain untuk diketengahkan kepada orang ramai, namun mereka berpendapat skandal salah laku syarikat sarat hutang itu merupakan isu pokok kepada masalah negara yang lain.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan Tony Pua berpendapat PH akan menyampaikan isu yang menarik perhatian ramai iaitu skandal 1MDB kerana rakyat akan mempersoalkan apa yang Barisan Nasional (BN) lakukan kepada negara.

 "Kami perlu memberitahu rakyat apa yang BN dan Perdana Menteri Najib Razak lakukan dalam 1MDB. Ia merupakan senjata bagi rakyat mendengar mesej kami.

"Berbanding dengan manifesto kami sebelum ini pada 2008 dan 2013 mereka tidak ambil peduli dengan manifesto yang kami tawarkan.

"Tiada sebab untuk mereka dengar manifesto kami kerana mereka boleh dikatakan berpuas hati dengan Umno-BN ketika itu. Tapi sekarang kami juga boleh membuatkan mereka berasa tidak puas hati dengan BN melalui isu 1MDB. Dengan ini, mereka ada alasan untuk mendengar apa yang kami ingin sampaikan kepada mereka," katanya kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil turut senada dengan Pua berkata, isu lain seperti kos sara hidup, peningkatan harga barang akan turut dimainkan PH tetapi isu berkenaan konsep integriti akan lebih diutamakan.

"Selain daripada isu 1MDB, yang pertama kita tekankan (ialah) konsep integriti. Jadi kita kena selesaikan semua masalah korupsi yang didedahkan. Bukan sahaja 1MDB, malah dalam Felda, Mara, Tabung Haji dan mana-mana agensi kerajaan yang terbabit.

"Selain itu kami juga menekankan tawaran untuk menyelesaikan masalah rakyat secara langsung iaitu masalah ekonomi, kos sara hidup, peningkatan harga barang, perumahan dan pekerjaan.

"Ini ada kena-mengena dengan 1MDB. Sebab itu saya rasa 1MDB ini masalah 'central' kepada masalah lain," katanya.

Beliau berkata, untuk menyelesaikan masalah 1MDB, penukaran kerajaan harus dilakukan kerana ia berkait rapat dengan perdana menteri sedia ada dan menegaskan seluruh Kabinet harus bertangunggungjawab ke atasnya.

"PH akan cuba mendapatkan semula aset yang dibeli melalui wang 1MDB seperti yang dilakukan DoJ iaitu dengan mengejar harta mereka yang terlibat serta mengambil tindakan undang-undang untuk mereka (yang) bertanggungjawab membayar semula," katanya.

PH mengadakan siri jelajah dua bulan peringkat akar umbi yang bermula di Pulau Pinang pada Khamis lalu dengan menggunakan isu 1MDB sebagai peluru untuk menyerang BN.

Jelajah 1MDB itu diadakan di Penaga, Kepala Batas – kubu kuat Umno di Pulau Pinang yang pernah menjadi kerusi Parlimen bekas perdana menteri dan presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi.

Panelnya terdiri daripada wakil PH iaitu Pua, ahli Parlimen DAP Zairil Khir Johori, Kasthuriraani Patto, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Faiz, dan Yaakob Osman daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelajah itu memberi penerangan kepada pengundi berkaitan kemelut 1MDB susulan tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) yang membuat tuntutan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion), yang didakwa dibeli menggunakan wang yang disalurkan daripada syarikat pelaburan negara itu.

Menurut Kasthuri, kebanyakan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar tidak tahu mengenai kepincangan isu 1MDB ini dan kesan kepada ekonomi negara.

Menyifatkan isu penyelewengan wang itu merupakan satu isu rakyat, Kasthuri berkata PH ingin menjelaskan kepada mereka bagaimana wang rakyat digunakan untuk perbelanjaan mewah seperti pembelian rantai berlian.

"Kami fokuskan isu 1MDB kerana ia juga isu rakyat. Cuma setiap penceramah memberikan 'angle' yang berbeza.

"Kalau mereka (rakyat) tidak mahu tahu mengenai isu 1MDB, mereka tiada di sini. Tadi bila penjelasan dilakukan penceramah kita tadi pun mereka kelihatan terkejut. Mereka nak tahu mana duit itu pergi. Sebab itu duit curi.

"Apa yang paling penting sekarang ini adalah 'to humanize the issue'," katanya kepada The Malaysian Insight selepas ceramah "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" itu.

Katanya, antara manifesto lain PH akan tunaikan kepada rakyat adalah isu berhubung kos sara hidup dan pendidikan.

Bekas ahli Umno yang kini menyertai Bersatu, Yaakob Osman pula berpendapat, rumah mampu milik untuk semua orang, pendidikan dan peluang pekerjaan yang perlu ditambahbaik merupakan isu utama.

Ia akan menjadi fokus utama parti itu, memandangkan Yaakob merasakan kerajaan persekutuan sedia ada tidak berdaya untuk memenuhinya.

"Pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang lebih baik akan dapat memastikan taraf hidup serta harga barang dan perkhidmatan dalam kadar yang berpatutan.

"Pekerjaan akan diperluaskan kepada rakyat tempatan berbanding warga asing. FDI (pelaburan langsung asing) tetap FDI, di mana negara dan rakyatnya ekonomi mendapat manfaat berbanding hanya menyerahkan kontrak kepada syarikat luar," katanya.

Katanya, Bersatu juga akan berperanan untuk menarik undi Melayu di kawasan kaum Melayu dan di Felda.

Ini kerana beliau berpendapat Bersatu memahami kaum Melayu memandangkan kebanyakan ahli parti yang diilhamkan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat,  Dr Mahathir Mohamad itu tahu isu apa yang menarik minat kaum ini.

"Dengan ini, kita harap dapat meraih undi dan kerusi yang mencukupi untuk PH menawan kerajaan persekutuan

Saman DOJ yang terkini menyatakan bagaimana Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, membeli rantai leher berlian merah jambu 22 karat yang bernilai RM117 juta menggunakan wang daripada 1MDB untuk isteri "Malaysian Official No. 1” (MO1).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan yang MO1 ialah Najib Razak.

DoJ memohon untuk menyita, antara lain, kapal layar Equanimity milik Jho Low bernilai AS$165 juta dan hak filem "Dumb and Dumber To" yang diterbitkan Red Granite, sebuah syarikat penerbitan milik bersama Riza Aziz, anak tiri Najib.

Susulan saman itu bulan lalu, beberapa personaliti terkenal yang dinamakan dalam tuntutan itu yang didakwa menerima hadiah dibeli hasil penyelewengan daripada syarikat pelaburan negara berkenaan, memulangkan semula hadiah kepada DoJ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA