Sabtu, 1 Julai 2017

Skandal 1MDB: PH akan undang bekas pegawai kanan kerajaan sertai jawatankuasa tindakan 1MDB

SELEPAS mengundang parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menjemput bekas pemimpin kanan kerajaan termasuk bekas hakim untuk menyertai Jawatankuasa Tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jawatankuasa tersebut akan menggunakan pendekatan “Operation Big Bird” seperti dilakukan di Filipina untuk mendapatkan kembali wang yang hilang semasa zaman pemerintahan Ferdinand Marcos.
“Kita akan melibatkan pegawai kanan kerajaan seperti bekas hakim kanan, bekas pemimpin kanan Bank Negara, bekas diplomat kanan, pesuruhjaya Suhakam, ahli akademik, pakar ekonomi dan pemimpin NGO,” kata setiausaha politik ketua pembangkang Yusmadi Yusoff kepada The Malaysian Insight.
“Kita akan guna pendekatan seperti ‘Operation Big Bird’ untuk mendapatkan kembali wang 1MDB yang disembunyikan atau tersembunyi dari seluruh dunia.”
Yusmadi berkata, bekas pemimpin kanan kerajaan itu dijemput menyertai jawatankuasa kerana kredibiliti dan kepakaran dalam bidang masing-masing yang akan membantu merungkai misteri skandal 1MDB.
Katanya, nama pegawai kanan kerajaan tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lama lagi.
"Operation Big Bird" dilancarkan di Filipina pada 1986 semasa zaman Presiden Corazon Aquino untuk mendapatkan kembali wang dan aset tersembunyi bekas diktator Ferdinand Marcos sebanyak AS$7.5 bilion dari seluruh dunia yang dikatakan “dicuri” daripada negara itu.
Wan Azizah pada Isnin mengumumkan di Parlimen yang PH akan menubukan jawatankuasa dan mengadakan perhimpunan rakyat pada September sebagai protes terhadap skandal 1MDB susulan langkah terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3bilion) yang didakwa dicuri daripada syarikat itu.
Wan Azizah turut menggesa semua parti pembangkang termasuk PAS mengetepikan segala perbezaan dan bekerjasama membawa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya memberitahu The Malaysian Insight partinya akan berbincang mengenai undangan itu dan akan mengumumkannya dalam jangka masa terdekat.
Menurut Yusmadi, Jawatankuasa Tindakan 1MDB itu akan turut menyediakan satu laporan terperinci berhubung skandal 1MDB untuk membantu siasatan.
“Dengan mandat 52% undi popular pada PRU13, ketua pembangkang mengambil tanggungjawab untuk menubuhkan jawatankuasa ini memandangkan pasukan petugas khas Putrajaya bagi menyiasat 1MDB seperti tidak berfungsi lagi,” kata bekas ahli Parlimen Balik Pulau itu.
Kerjasama bongkar skandal 1MDB
Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan melibatkan orang ramai untuk membongkar skandal 1MDB melalui pendekatan “crowd investigation”.
“Konsep sama seperti ‘crowd funding’. Kita gesa orang ramai yang mempunyai bukti mengenai skandal 1MDB supaya berkongsi maklumat dengan jawatankuasa ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin yang turut bersama dalam mesyuarat penubuhan jawatankuasa itu di Parlimen pada Isnin berkata, mereka mempunyai pelbagai pendekatan bagi menjayakan matlamat pembongkaran skandal 1MDB.
“Selain jelajah di seluruh negara dan perhimpunan rakyat, kita juga mendesak Perdana Menteri Najib Razak membentangkan kertas putih mengenai skandal 1MDB di Parlimen.
“Jika benar bukti didedahkan DoJ itu tidak benar dan cuba mengganggu kedaulatan negara, Najib perlu adakan sidang tergempar Parlimen dan bentang kertas putih,” kata ahli Parlimen Bayan Baru itu.

Beliau berkata, walaupun parti pembangkang yang memulakan inisiatif ini, pertubuhan dan tokoh masyarakat akan turut diundang kerana skandal 1MDB melibatkan kepentingan rakyat Malaysia.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, program jelajah seluruh negara Jawatankuasa Tindakan 1MDB bermula di Dewan JKKK Penaga di Kepala Batas, Pulau Pinang kerana mereka tidak mahu melupakan rakyat Malaysia di luar bandar.
“Kita mahu penduduk luar bandar terutamanya orang-orang Melayu diberikan penerangan terkini berhubung skandal 1MDB,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu kepada The Malaysian Insight

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA