Khamis, 13 Julai 2017

Skandal 1MDB: Najib tak boleh diam diri lagi tentang Jho Low

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, peguam negara perlu mendapatkan bantuan Interpol untuk mencari ahli perniagaan itu bagi tujuan soal siasat.
Tian-Chua-jho-low-1mdbNaib Presiden PKR, Tian Chua meminta peguam negara mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa Low Taek Jho pulang ke negara ini, selepas pendakwa raya Singapura menyatakan 1MDB ialah “mangsa” ahli perniagaan itu.
Merujuk siasatan ke atas aktiviti perbankan luar biasa dikaitkan dengan 1MDB di Singapura, ahli Parlimen Batu itu berkata, sudah tiba masanya kerajaan menjawab soalan sama ada ia bersetuju atau tidak dengan tindakan yang diambil setakat ini.
“Ia semakin sukar untuk kerajaan mendiamkan diri.
“Sama ada kerajaan Malaysia bersetuju dengan kerajaan Singapura yang Low, lebih dikenali sebagai Jho Low, ‘sengaja merancang seluruh skim’ untuk menipu rakyat Malaysia, atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengakui beliau ialah mangsa Low.
“Jika tidak, ia mungkin memberi tanggapan beliau sebahagian daripada skim itu,” kata Tian Chua kepada FMT.
Pendakwa raya di Singapura menamakan low sebagai tumpuan dalam siasatan berkaitan 1MDB dan dia menggunakan wang yang boleh dikesan kepada dana milik kerajaan itu untuk tujuan peribadi.
Dalam pemfailan mahkamah yang didedahkan semalam, pendakwa raya berkata, Low menerima sejumlah wang “amat besar”.
Kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) yang ingin dilaburkan 1MDB dalam usaha sama PetroSaudi International Ltd dilencong ke akaun bank milik Low.
“Mangsa utama dalam kes ini ialah 1MDB,” kata pendakwa raya Nathaniel Khng di mahkamah Singapura.
Jho Low sudah hilang dari pandangan umum.
Tian Chua berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu segera mengkaji penemuan mahkamah Singapura itu.
“AG (peguam negara) perlu bertindak. Perkara logik ialah AG perlu membawa pulang Jho Low untuk siasatan atau disebabkan dia hilang, maklumkan Interpol untuk mencari dia bagi tujuan soal siasat,” katanya.
Pemimpin PKR itu berkata, sekarang ialah masa untuk Najib melupakan kepentingan peribadi dan membenarkan anak tirinya, Riza Aziz disoal siasat polis.
“Kami tahu dia (Riza) berada di Malaysia. AG tidak perlu bantuan Interpol untuk mencari dia,” katanya.
Riza ialah penerbit filem dan pengasas bersama serta pengerusi Red Granite Pictures, sebuah syarikat penerbitan filem yang berpangkalan di Los Angeles.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata, perdana menteri perlu menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat ketika ia bersidang semula 24 Julai ini.
“Sama seperti perdana menteri Singapura menjawab isu dengan adik-beradiknya, Najib perlu berbuat perkara sama.”
Naib pengerusi DAP itu berkata, lebih baik Dewan Rakyat mengadakan sidang tergempar berhubung perkara itu.

“Najib perlu mendedahkan fakta perkara itu. Sebuah jawatankuasa Parlimen harus dibentuk untuk mengkaji Jho Low dan urus niaga itu.”
Beliau berkata, Najib perlu menjawab kenapa Low terbabit dalam urus niaga 1MDB dan penyeliaan yang dilakukan perdana menteri.
“Setakat ini, ada lebih banyak soalan berbanding jawapan.
“Ia sudah lama tertangguh untuk Najib dan orang lain yang terbabit memberi jawapan. Beliau perlu menjawab untuk menjadikan dirinya lebih bertanggungjawab.”
Siasatan Singapura ke atas aktiviti berkaitan 1MDB setakat ini menyaksikan 5 individu didapati bersalah, dengan 4 daripadanya dipenjarakan.
Siasatan itu ialah sebahagian usaha di seluruh dunia untuk mengesan berapa banyak daripada AS$6 bilion (RM25.8 bilion) yang dikumpulkan 1MDB bagi projek pembangunan, digunakan untuk membeli hartanah mewah, mengadakan parti besar dan banyak lagi perkara lain.
Amerika Syarikat dan Switzerland antara negara yang turut menyiasat peranan dimainkan bank dan individu terbabit.
Penyiasat AS menyifatkan Low sebagai pengawal rancangan untuk menyalurkan berbilion dolar daripada dana Malaysia itu.
Menurut Bloomberg, permintaan untuk mendapatkan komen Low melalui laman web Jynwel Capital Ltd miliknya dijawab. Begitu juga tiada jawapan diberikan 1MDB terhadap soalan yang dihantar melalui e-mel.
Dana pelaburan milik negara itu secara konsisten menafikan sebarang salah laku.
Low sebelum ini menggambarkan peranannya dengan dana itu sebagai perundingan tidak rasmi yang tidak melanggar sebarang undang-undang.
Bulan lalu, beliau mengeluarkan kenyataan bagi menjawab saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dalam usaha merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa dibeli dengan dana diseleweng daripada 1MDB.
“Kami mengalu-alukan fakta sebenar dikemukakan di mahkamah yang akan menunjukkan kes DoJ tidak berasas sama sekali,” katanya melalui wakil pada Jun lalu.
Siasatan yang dijalankan sebuah jawatankuasa Parlimen Malaysia mendapati dalam usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi pada 2009, sebanyak AS$700 juta (RM3 bilion) dipindahkan ke akaun di RBS Coutts Bank Ltd milik sebuah syarikat yang tiada kaitan dengan projek itu, tanpa kebenaran lembaga pengarah.

1 ulasan:

  1. Kpn boleh guna interpol utk mencari jo low. Bawa dua ke muka pengadilan. Rakyat malaysia terkesan dgn tindakan jo low.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA