Sabtu, 1 Julai 2017

Skandal 1MDB: Khairuddin beri tempoh empat hari untuk Nasrudin mohon maaf


Nasrudin Hassan
Koordinator Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (gambar)  memanggil Nasrudin Hassan sebagai "berotak udang" dan akan mengenakan tindakan saman ekoran kenyataan Ketua Penerangan Pas itu yang mengaitkan pelapor berhubung skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai meminta campur tangan asing.
Khairuddin dalam kenyataannya mencabar Ahli Parlimen Temerloh itu untuk menyebut secara jelas nama individu yang membuat laporan kepada pihak penguatkuasa undang-undang di Switzerland, United Kingdom, Perancis, Singapura, Hong Kong serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
"Tolong bagitahu Ketua Penerangan Pas yang bangang ini agar jangan berkias-kias lagi dalam tuduhannya yang tidak berasas itu!
"Sekiranya mempunyai sikap bertanggungjawab, Nasrudin Hassan mesti sebut nama 'pelapor' secara jelas dan buktikan secara sahih orang yang pergi buat laporan di lima negara luar tersebut meminta kuasa asing campur tangan dalam urusan negara Malaysia.
"Kalau Ketua Penerangan Pas yang bangang ini tidak berani sebut nama saya secara jelas serta terbuka sebagai pelapor di negara-negara luar tersebut maka saya ingin nyatakan Nasrudin Hassan seorang yang 'bacul'," tempelaknya.
Khairuddin Abu HassanSehubungan itu, Khairuddin (foto) menuntut ahli Majlis Syura Pas berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka di atas fitnah terhadap dirinya.
"Beliau ada empat hari mulai hari ini (30 Jun) bagi merakamkan permohonan maaf tersebut kerana walaupun beliau tidak menyebut nama saya sebagai fakta yang nyata semua orang di seluruh dunia tahu bahawa sayalah pelapornya.
"Seandainya Ketua Penerangan Pas yang bangang ini gagal berbuat demikian maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya," tegasnya.
Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu menyifatkan Nasrudin serta pemimpin Pas lain tidak tahu fakta sebenar skandal kewangan yang dianggapnya sebagai terbesar di dunia pada dekad ini.
"Mungkin kerana takut disaman atau diambil tindakan undang-undang maka dia bercakap dengan bahasa kiasan saja. Bila saya lawan Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Jho Low, Riza Aziz serta keseluruhan ahli lembaga pengarah 1MDB, saya buat laporan PDRM serta SPRM dan sebut nama-nama mereka secara jelas lagi terbuka.
"Setiap hari, saya naik turun mahkamah untuk pertahankan diri serta prinsip perjuangan untuk menegakkan kebenaran bagi selamatkan Malaysia," jelas ahli perniagaan itu.
Khairuddin yang secara konsisten memanggil Nasrudin sebagai bangang dan dungu itu turut menyifatkan pemimpin Pas yang kerap mencetuskan kontroversi itu sebagai gagal memahami pentakrifan 'kesalahan jenayah pengubahan wang haram' di luar negara dengan campur tangan kuasa asing.
"Bila masa saya pergi ke luar negara untuk meminta negara-negara asing campur tangan dalam hal ehwal dalaman tanah air kita?

"Apakah membuat laporan kepada pihak penguatkuasa undang-undang bagi menyiasat kesalahan jenayah serta sivil yang terbukti di luar negara itu membawa erti saya pengkhianat? Ataupun mereka sedang mencipta alasan untuk menangkap saya semula?" soalnya.
Khairuddin direman selama enam hari bermula 19 September 2015 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen selepas dilarang daripada meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, Khairuddin dan peguam, Matthias Chang yang dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan bank dan kewangan negara dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta dibebaskan dengan jaminan RN10,000 manakala pasport ditahan sebagai syarat jaminan.
Mengulas lanjut, Khairuddin yang keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Oktober tahun lalu itu juga menganggap pemimpin Pas pada masa ini sebagai menyalahgunakan agama demi kepentingan politik parti.
"Bolehkah Nasrudin Hassan seorang politikus yang telah tersimpang dari syariat agama serta aqidah perjuangannya membuktikan saya mengkhianati negara Malaysia?
"Saya bukan macam pemimpin-pemimpin Pas yang fasiq! Mereka memperalatkan agama untuk tujuan survival politik Pas. Mereka telah terpesong dari aqidah agama Islam yang melarang kita bersubahat dengan rasuah.
"Sebab itu saya selaku pemimpin akar umbi Umno pada waktu itu terpaksa pikul tanggungjawab ini sebagai satu fardhu kifayah untuk lawan segala bentuk kemungkaran presiden parti saya sendiri," bidasnya lagi.

2 ulasan:

  1. Pay Per View ni berlagak lebai.... cakap kosong... kat Termerloh orang dah tolak dia....dah fed up.. jgn harap boleh menang kali ni...

    Kalau kepala tak kena matahari pemikiran tak kan bercambah...

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA