Ahad, 23 Julai 2017

Skandal 1MDB: Jangan kita campur tangan urusan negara lain


" Kita menentang campur tangan Amerika Syarikat (AS) ke atas mana-mana negara, begitu juga Malaysia juga tidak boleh berbuat perkara sama dalam hal-hal negara lain," demikian menurut Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Beliau berkata, semua negara perlu saling hormat-menghormati hak dan kedaulatan negara masing-masing.
“Dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), AS mendakwa sejumlah wang haram daripada 1MDB telah masuk ke negara mereka, yang bertentangan dengan undang-undang negara itu.
“Wang 1MDB itu dilaporkan ada kaitan dengan dua individu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad berkata, AS kini mahu mendakwa mereka yang terlibat membawa wang haram masuk ke negara mereka.
Mohamad Sabu “Mereka tidak berkompromi kepada orang yang melalukan kesalahan di negara mereka. Maka jangan pula kita campur tangan jika mereka mahu mengambil tindakan kepada individu membawa wang haram ke negara mereka, seperti juga kita tidak mahu mereka campur tangan hal ketenteraan dan kepolisan dalam negara kita.
“Jangan kita terlalu naif. Apabila AS mahu memburu pesalah wang haram masuk ke negara mereka, kita pula kata mereka cuba nak campur tangan urusan negara,” katanya.
Jelasnya, di Malaysia, Peguam Negara yang mahu memulakan siasatan ke atas 1MDB telah dipecat.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiasat oleh polis dan beberapa pegawai mereka ditukar.
“Timbalan Perdana Menteri, menteri dan menteri besar dan pegawai tinggi kerajaan yang mempersoal 1MDB juga dipecat,” ujarnya.
Tambahnya, tiada penjelasan menyeluruh terhadap pembunuhan dan pemecatan ini.
“Ini semua menimbulkan spekulasi buruk ke atas Malaysia. 1MDB dan Perdana Menteri dilihat begitu kebal dalam isu ini.
“Sepatutnya sudah ada satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan isu ini,” katanya.

Terdahulu, pembangkang menuntut supaya Kabinet menubuhkan RCI bagi menyiasat mengenai dakwaan Jabatan Keadilan (DOJ) AS berhubung skandal 1MDB.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan Kabinet sebelum ini untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) amat dialu-alukan oleh  pihak pembangkang.
"Penubuhan RCI adalah sejajar dengan tuntutan amalan tatakelola yang baik dan akaunbiliti awam.
"Namun atas prinsip sama, saya turut menuntut penubuhan RCI bagi menyiasat skandal 1MDB," katanya ketika sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA