Khamis, 6 Julai 2017

Skandal 1MDB: Apandi dinasihati buat pendakwaan atau letak jawatan



Kredibiliti Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali dilihat ibarat telur dihujung tanduk apabila Presiden Amanah Mohamad Sabu berpandangan hanya ada dua pilihan buat Apandi membersihkan imejnya berhubung skandal kewangan terbesar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mohamad mendesak Apandi segera mendakwa mereka yang terlibat menyelewengkan wang 1MDB atau meletakan jawatan segera bagi memulih imej beliau sebagai peguam negara.
Mat Sabu dan Mohd Apandi Ali"Bantahan oleh peguam negara dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung dana yang diselewengkan dari 1MDB meletakkan kredibiliti beliau di hujung tanduk.
"Ini kerana beliau sepatutnya sudah bertindak tegas terhadap perompak dana syarikat pelaburan negara bersandarkan laporan tempatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Keengganan Tan Sri Apandi untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas sesiapapun dari perompak dana 1MDB adalah satu tindakan yang seolah-olah cuba untuk mempertahankan perompak wang rakyat. Di mana kredibiliti beliau sebagai seorang peguam negara?," soalnya dalam kenyataan hari ini.
Ini ekoran peguam negara itu pada Jun lalu membuat kenyataan saman sivil untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dirompak daripada 1MDB oleh DoJ hanya bermotif politik.
Apandi berkata ini kerana DoJ tidak pernah secara rasmi meminta maklumat atau penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara (ACG).
Bagaimanapun tambah Mohamad lagi, sebagai seorang peguam negara, Apandi ujarnya, tidak bebas daripada pengaruh politik kepada pihak kerajaan.
"Selagi itu juga tiada tindakan akan diambil terhadap dana yang diselewengkan daripada 1MDB. Kredibiliti beliau sebagai seorang peguam negara sangat tercalar.
"Sekiranya Apandi seorang yang bertanggungjawab, sudah lama tindakan telah beliau ambil tanpa perlu menunggu akan 'tiga tindakan undang-undang DoJ' atas pensonglap dana 1MDB," ujarnya yang merujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Sharul Azrai Ibrahim Hilmi.
Ini kerana pada April 2016 lalu, PAC mengeluarkan laporan kawalan pengurusan tadbir urus 1MDB setebal 106 muka surat.
Jawatankuasa itu antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
"Berkali-kali Pakatan Harapan dan NGO serta individu bekas institusi kehakiman negara mendesak beliau agar memulakan tindakan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu.
"Laporan PAC dengan jelasnya pada muka surat 94, Jadual 15 laporan PAC, menyatakan pelbagai kesalahan Sharul termasuk memindahkan US$700juta kepada akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd, milik Jho Low pada 29 September 2009.
"Sehingga hari ini Sharul dibiarkan bebas bahkan boleh memegang jawatan penting dalam GLC yang lain," ujarnya.

Justeru Mohamad menambah dengan saman sivil DoJ dalam laporan pertama setebal 136 muka surat pada 20 Julai 2016 itu, sudah cukup untuk meruntuhkan segala maruah dan integriti kepimpinan negara oleh "Malaysian Official 1" (MO1) yang didakwa merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Malah dengan 251 muka surat laporan ketiga DoJ pula telah mendedahkan wang rompakan dari 1MDB termasuk perihal US$620 juta (RM2.6 bilion) yang kononya wang derma itu telah dipulangkan (returned donation) oleh mereka kembali kepada 'penderma budiman Pak Sheikh Arab Saudi' oleh Najib.
"Dalam laporan ketiga ini, Jho Low, penerima US$620 juta itu, telah antara lain didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membeli 'kalung berlian merah jambu' bernilai US$27.2 juta untuk isteri MO1 dan pelbagai perhiasan mewah untuk perhiasan isteri MO1," terangnya yang memberi kata dua kepada Apandi untuk segera mendakwa mereka yang terlibat atau meletakkan jawatannya dalam kadar segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA